Haji Ismail Abdullah: Penggerak Koperasi Islam di Kuala Lumpur

- Advertisement -

PENGENALAN

Koperasi adalah satu langkah pengemblengan ekonomi masyarakat yang tidak mendapat perhatian besar dari orang awam, termasuk di kalangan ahli-ahli gerakan Islam. Walau bagaimanapun, sejak pertengahan 1980-an, pergerakan koperasi dalam PAS telah mengalami perubahan yang besar ekoran kemunculan seorang tokoh koperasi terkemuka, Haji Ismail Abdullah. 

Sebelum terlibat dalam PAS, Haji Ismail adalah seorang pegawai kanan jabatan koperasi kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan. Dengan pengalaman beliau dalam pengurusan koperasi, pada mulanya beliau aktif dengan Koperasi Belia Islam (KBI) yang ditubuhkan oleh ABIM, tetapi kerana kecewa dengan pendirian politik ABIM, beliau terjun ke dalam perjuangan PAS yang disertainya sejak 1967 dan menjadi penggerak utama sektor koperasi dalam PAS sejak 1985. 

Di samping itu juga, beliau turut berkecimpung dalam kepemimpinan PAS sehingga dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan pada 1989. Pendek kata, nama Haji Ismail adalah sangat sinonim dengan pergerakan koperasi dalam PAS.

Pegawai koperasi ulung

Haji Ismail bin Abdullah adalah anak kepada seorang pegawai penjara di Kedah. Ayah beliau adalah Ketua Penjara Alor Setar yang sangat kuat beragama dan menitik berat pendidikan agama anak-anaknya. Haji Ismail dilahirkan di Alor Setar dalam tahun 1926 dan diberikan didikan agama oleh keluarga sendiri. 

Setelah tamat belajar di sekolah Melayu di tempat kelahirannya pada 1937, dengan pencapaian yang cemerlang, beliau diterima mengikuti pengajian menengah di sekolah Inggeris. Beliau masuk belajar di kolej terkenal, Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar pada 1938. Malang sekali, kerana ketika berada di kolej ini, telah meletus Perang Dunia Kedua pada 1942 yang menyebabkan pembelajarannya terbantut beberapa ketika. 

Ayahnya tidak mahu pendidikan Haji Ismail terabai, lalu beliau dikirimkan untuk belajar di pondok bagi mendalami ilmu agama sehingga tamat Perang Dunia Kedua. Pada 1946, Haji Ismail kembali semula ke Kolej Sultan Abdul Hamid dan berjaya lulus Senior Cambridge pada 1952.

Dengan kelulusan setinggi itu, lebih-lebih lagi sebagai lepasan sekolah Inggeris, amat mudah bagi beliau untuk mendapatkan pekerjaan. Pada mulanya, Haji Ismail telah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan Koperasi di Jitra selama dua tahun antara 1953 hingga 1955. 

Pada masa ini kerajaan sedang berusaha mengembangkan sektor ekonomi kerjasama atau koperasi yang Ketika itu disebut sebagai syarikat kerjasama. Pada 1955, beliau ditukarkan ke Kota Bharu, Kelantan untuk memangku jawatan Penyelia Koperasi bagi Kawasan Pantai Timur meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang. 

Beliau berkhidmat di Kota Bharu agak lama, iaitu sehingga awal 1960-an. Sepanjang berada di Kota Bharu, beliau telah mengambil kesempatan untuk belajar agama di bawah bimbingan Tuan Guru Haji Mohammad Nor Ibrahim, seorang ulamak besar yang kemudiannya dilantik sebagai Mufti Kelantan. Ketika ini, Mufti Haji Mohammad Nor mengajar di rumahnya di Penambang, selain mengajar di Masjid Muhammadi. Pembelajaran di Kota Bharu ini telah mengukuhkan fahaman beliau mengenai Islam.

Pada 1962, Haji Ismail telah mendapat biasiswa di bawah Rancangan Colombo untuk menyambung pengajiannya di St Francis Xavier University, Nova Scotia, Kanada. Beluang ini direbut oleh beliau untuk mengikuti pengajian ijazah pertama dalam bidang ekonomi dan pengurusan, sesuai dengan tugasnya sebagai pegawai koperasi. 

Setelah empat tahun di Kanada, beliau berhasil lulus ijazah ekonomi dan kembali semula ke Malaysia pada 1966. Tugasan baru beliau bermula di Ipoh pada 1967 sebagai Pemangku Penolong Pendaftar Koperasi Negeri Perak. Dua tahun kemudian, dalam tahun 1969, beliau dipindahkan ke Ibu Pejabat Koperasi di Kuala Lumpur sebagai Pengarah Pembangunan dan Pendidikan, satu jawatan yang disandangnya hingga 1972. 

Pada tahun 1971, sebuah koperasi, Koperasi Shamelin Bhd telah ditubuhkan untuk menggerakkan ekonomi orang Melayu, dikepalai oleh Sanusi Junid. Haji Ismail sebagai seorang pakar koperasi telah dipinjamkan ke Jabatan Perdana Menteri pada 1972 untuk menjadi Penasihat Koperasi Shamelin Bhd sehingga akhir 1974.

Pada 1975, Haji Ismail menyertai semula Jabatan Pembangunan Koperasi sebagai seorang pegawai kanan. Jawatan terakhir beliau di Jabatan Pembangunan Koperasi ialah sebagai Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia. Beliau telah bersara pada 1981 ketika usianya genap 55 tahun. 

Secara keseluruhannya, sejak 1952 sehingga 1981, Haji Ismail telah menghabiskan seluruh zaman perkhidmatannya sebagai pegawai koperasi di jabatan koperasi kerajaan. Setelah bersara, kerana minat kepada perjuangan Islam, Haji Ismail segera menyertai Koperasi Belia Islam (KBI) yang diasaskan oleh ABIM. 

Beliau tahu, Koperasi Shamelin BHd sebagai sebuah koperasi Melayu yang disokong oleh kerajaan, tetapi beliau tidak cenderung kepada koperasi yang dikuasai oleh Umno itu. Dengan penglibatannya dalam KBI, Haji Ismail telah dilantik sebagai Penasihat KBI dalam tahun 1981 itu juga. Tetapi beberapa ketika kemudian, ekoran tindakan Presiden ABIM, Anwar Ibrahim menyertai Umno, kedudukan KBI mula bergoyang.

Aktivis koperasi PAS di Kuala Lumpur

Para pemimpin ABIM telah mengalami kekeliruan dan mulai berpecah selepas tindakan Anwar Ibrahim tersebut. Pada 1983, ABIM telah mengambil pendirian untuk bersama-sama dengan Anwar Ibrahim bagi mendukung kerajaan dan hal yang sama turut diambil oleh KBI. Keadaan ini telah membuatkan Haji Ismail menjadi tidak selesa. Beliau adalah ahli PAS sejak 1967 dan ABIM juga diketahui umum telah sayap PAS sepanjang 1970-an. 

Apabila ABIM beralih arah kepada Umno, Haji Ismail mengambil pendirian untuk meninggalkan ABIM dan aktif bersama PAS di Kuala Lumpur. Beliau bergerak dalam PAS Kawasan Bukit Bintang, di tengah-tengah ibu kota. Beliau mula memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan Bukit Bintang sejak 1983 hingga 1987, kemudian menjadi Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Bintang mulai 1987 dan seterusnya menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Bintang mulai 1988 menggantikan Ustaz Othman Hamzah.

Ketika beliau aktif dalam kepemimpinan PAS Bukit Bintang ini, beliau mula menggerakkan idea koperasi Islam dalam PAS. Sejak 1984, beliau menjelajah ke seluruh negara dan menemui pimpinan PAS bagi mendapatkan dukungan untuk menggerakkan koperasi ahli-ahli PAS. 

Dalam tahun 1985, dengan persetujuan pimpinan PAS, sebuah koperasi ahli-ahli PAS telah ditubuhkan dengan nama Koperasi al-Hilal atau Kohilal. Koperasi ini berjaya didaftarkan dengan Jabatan Pembangunan Koperasi pada 3 Jun 1986 dan Ahli Lembaga Pengarah Kohilal pertama dibentuk pada 19 Julai 1986 dengan Haji Ismail dipilih sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Kohilal yang pertama. 

Ketika ini, Haji Ismail merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan sejak 1985, satu jawatan yang dipegang sehingga 1989. Koperasi al-Hilal di bawah pimpinan beliau telah mengorak langkah untuk memajukan ekonomi ahli-ahli PAS sehingga muncul antara koperasi terbaik sepanjang dekad 1990-an.

Kejayaan Kohilal telah membuka mata ahli-ahli PAS bahawa ekonomi umat Islam dapat digerakkan jika kita memiliki pengurusan yang cekap dan baik. Semenjak Kohilal mencapai kejayaan besar mulai awal 1990-an, maka ahli-ahli PAS di peringkat negeri mulai bergiat dalam koperasi sehingga tertubuhnya beberapa koperasi ahli-ahli seperti Koperasi Darul Qarar Bhd (Kelantan), Koperasi al-Falah Bhd (Negeri Sembilan), Koperasi al-Makmur Bhd (Pahang), Koperasi al-Barakah Bhd (Kedah), Koperasi Perak (Perak) dan Koperasi Hak Anak Melaka (Kohamas) (Melaka), selain Koperasi Siswazah Islam (Kosis) yang ditubuhkan oleh para graduan yang aktif dalam Dewan Pemuda PAS. 

Tidak ada sesiapa pun dapat menafikan bahawa kebangkitan sektor koperasi dalam PAS sejak 1986 adalah hasil air tangan Haji Ismail. Gerakan koperasi Islam ini adalah sumbangan terbesar Haji Ismail sepanjang berjuang secara aktif bersama PAS sejak 1983.

Kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh Kohilal telah meletakkan nama Haji Ismail sebagai seorang tokoh ekonomi yang penting dalam PAS. Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah melantik Haji Ismail sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan selama dua penggal antara 1989 hingga 1993, sebelum diambil alih oleh Tuan Haji Subky Latif. 

Dalam tempoh ini, beliau memegang tiga jawatan utama serentak iaitu Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Pengerusi Kohilal dan Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Bintang. Walau bagaimanapun, sejak 1993, tumpuan beliau hanya kepada Kohilal dan PAS Bukit Bintang sahaja. Beliau tidak dapat memimpin PAS Wilayah Persekutuan kerana keuzuran dan kesibukannya menguruskan koperasi ahli-ahli PAS. Boleh dikatakan sepanjang lebih satu dekad (1986-1998) itu, Haji Ismail telah menjadi ikon koperasi dalam PAS.

Tahun 1998 boleh dianggap sebagai tahun yang malang bagi penggerak koperasi dalam PAS. Kepemimpinan Haji Ismail yang sangat diharapkan itu tiba-tiba terhenti ekoran kematian beliau dalam bulan Februari 1998 dan beliau dikebumikan di Muassasah Darul Ulum, Kuala Nerang. 

Dalam tahun yang sama juga, telah berlaku kegawatan ekonomi dunia yang teruk, sehingga menyebabkan kebanyakan pelaburan Kohilal dan koperasi-koperasi yang lain mengalami kerugian yang besar. 

Kerana tragedi kegawatan ini, kebanyakan koperasi ahli-ahli PAS telah terkubur, tetapi Kohilal masih dalam proses pemulihan semula setelah turut terlibat dalam kejatuhan tersebut. Pemergian Haji Ismail sering dijadikan alasan kegagalan pelaburan Kohilal, disebabkan oleh pegawai-pegawai yang lain tidak mahir dengan pengurusan koperasi sehingga mereka terdedah kepada kerugian.

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin – HARAKAHDAILY 11/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -