Empangan Nenggiri: Kelantan hargai pengorbanan Orang Asli

- Advertisement -

YB DATO’ Ramli Dato’ Mohd Nor, Ahli Parlimen Cameron Highlands berketurunan Orang Asli nampak serius berkaitan kaum peribumi itu. Isu semasa berkaitan pembangunan yang memberi impak terhadap Orang Asli adalah projek empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan. Pada 1 Ogos 2022 lalu, Dato’ Ramli mengangkat isu ini dalam Dewan Rakyat untuk mendapat penjelasan Menteri. 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan, projek tersebut akan diteruskan dan akan dibiayai serta dilaksanakan sepenuhnya oleh anak syarikat Tenaga Nasional Berhad iaitu TNB Power Generation Sdn Bhd.

Projek ini sebenarnya telah pun dimulakan sejak 1 Mac 2022 lagi. Ia dijangka siap dan beroperasi pada 1 Jun 2027 iaitu Scheduled Commercial Operation Date (SCOD). Projek ini mengambil keluasan tasik takungan utama seluas 53.84 kilometer persegi yang mana mempunyai serampang banyak mata.

Selain daripada menjana bekalan elektrik, ia juga akan mengurangkan kesan fenomena banjir besar, membantu sumber pengairan pertanian, mengatasi isu perbekalan air bersih, memberi peluang pekerjaan ketika pembinaan empangan ini dan yang terakhirnya, potensi kegiatan ekonomi apabila projek ini siap.

Namun demikian, sebenarnya kerajaan secara jujur tidak menafikan pembinaan empangan negeri ini akan memberi sedikit kesan terutamanya kepada flora dan fauna dan tidak ketinggalan kepada perkampungan masyarakat Orang Asli. Khususnya di kawasan ini, tiga buah kampung terlibat iaitu Kampung Kuala Wias, Pos Pulat dan Pos Tohoi yang mempunyai seramai 1,115 penduduk. 

Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan dan juga TNB telah mengambil pelbagai langkah kawalan dengan kerjasama rapat jabatan dan agensi kerajaan.

Sebagai pemulihan kepada terjejasnya kedudukan ini kepada Orang Asli, kerja-kerja awal pembangunan projek ini telahpun dimulakan dengan memperoleh kelulusan-kelulusan yang diperlukan. 

Antaranya, kajian potensi mineral, kajian penerimaan awam dan sosial, kajian impak alam sekitar (EIA), kajian impak sosial (SIA) dan juga kajian impak warisan (HIA). TNB juga melalui HIA akan membuat satu galeri yang dipanggil Galeri Mini Warisan dan Budaya Orang Asli Nenggiri.

Bagi memaksimumkan manfaat projek ini juga dan menjaga kepentingan masyarakat perkampungan Orang Asli yang terlibat. Sejak tahun 2004 lagi TNB telah melaksanakan pelbagai program dan tanggungjawab sosial melibatkan komuniti Orang Asli di sekitar kawasan ini. Lebih daripada 30 libat urus diadakan termasuk  anjuran SUHAKAM yang melibatkan penduduk kampung di sini.

Kajian penerima awam telah dibuat oleh juru perunding iaitu UKM Pakarunding Sdn Bhd. Kajian yang dibuat ini bagi menunjukkan tahap penerimaan projek ini dalam kalangan penduduk ketiga-tiga kampung Orang Asli. 

Data menunjukkan telah meningkat daripada 69.5 peratus pada tahun 2015 kepada 80 peratus pada tahun 2018 dan untuk bulan Mac 2020, iaitu telah meningkat sebanyak 86 peratus.

Sekali gus menunjukkan bahawa masyarakat Orang Asli menerima projek pembangunan ini yang tidak meminggirkan kepentingan kaum mereka di tempat ini.

Bagi menjawab bagaimana Kelantan dan Kerajaan Persekutuan menghargai pengorbanan Orang Asli, program pampasan dan penempatan semula kepada keluarga Orang Asal yang terpaksa berpindah kerana projek ini telah disediakan dengan sebaik mungkin.

Dato’ Seri Takiyuddin sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman menyatakan bahawa, kalau mengikut jumlah yang boleh dinilai, setakat ini sebanyak RM216 juta telah diperuntukkan. Iaitu RM200 juta melibatkan tapak rumah seluas 0.5 ekar untuk seramai 767 orang dan 1,115 orang di ketiga-tiga perkampungan ini.

Sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk tapak rumah berkeluasan 800 kaki persegi dengan tiga bilik, dua bilik air, tapak dusun seluas 0.5 ekar, ladang getah seluas 5.5 ekar yang lengkap dengan kawasan itu adalah sekolah rendah, asrama, kuarters guru, dewan dan sebagainya.

Sebanyak RM15 juta untuk bantuan dan pampasan iaitu RM500 satu ketua isi rumah semasa perpindahan, bantuan RM200 dan elaun sara hidup sebanyak RM683 satu ketua isi rumah untuk lima tahun. Lima tahun ini sementara dusun mereka atau ladang getah mereka itu memberikan hasil.

Dalam tempoh sebelum hasil itu, diberikan elaun sara hidup RM683 satu keluarga. Juga, sagu hati komuniti sekitar RM3,000 setiap kampung.

Di samping itu, jika terdapat kubur-kubur Orang Asli yang terpaksa dipindahkan, kos sebanyak tidak kurang daripada RM500 akan diberikan untuk proses itu. 

Di samping itu, RM1 juta program modal insan untuk komuniti Orang Asli bagi melatih kemahiran anak-anak Orang Asli agar mereka mahir dalam aktiviti ekonomi. Itu antara perkara yang diberikan kepada masyarakat Orang Asli.

Begitulah kisahnya betapa besar kepentingan Empangan Nenggiri untuk mengurangkan kesan fenomena banjir besar, membantu  sumber pengairan pertanian, mengatasi isu pembekalan air bersih selain hal penjanaan elektrik hidro semata-mata.

Seiring itu, besar juga pengorbanan masyarakat Orang Asli demi kemajuan Kelantan dan juga besar sekali penghargaan Kerajaan Negeri Kelantan yang menyediakan tapak dusun dan ladang getah dikurniakan memberi hasil berterusan untuk masyarakat Orang Asli kelak.

MOHD AZREEN MUSTAPA
Darulnaim Research Centre
11 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 11/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -