920,000 sertai Malaysia Techlympics 2022

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Seramai 920,000 peserta mendaftar di bawah Malaysia Techlympics 2022, iaitu program untuk merancakkan agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata jumlah itu adalah penyertaan dalam pelbagai aktiviti pembelajaran tidak formal seperti bengkel, webinar, permainan, makmal pembuatan, pertandingan, kuiz dan pameran.

- Advertisement -

“Malaysia Techlympics yang julung kali dilaksanakan mensasarkan penglibatan seramai satu juta belia berumur antara tujuh hingga 30 tahun.

“Sehingga kini, pelaksanaan Techlympic telah mencapai jejak digital Techlympics sebanyak 17 juta secara dalam talian,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Nicole Wong Siaw Ting, yang meminta penjelasan mengenai status Malaysia Techlympics 2022 dan usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk meningkatkan minat pelajar terhadap sains dan teknologi.

Menurut Ahmad Amzad, program berkenaan menggalakkan penglibatan pelajar dan belia di semua peringkat umur, jantina dan bangsa.

Katanya, program anjuran anjuran Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) itu bertujuan melahirkan modal insan yang berbakat, kreatif dan mahir.

Selain itu, katanya Malaysia Techlympics dipromosikan melalui program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) dengan mengadakan aktiviti STEM dan pendedahan teknologi kepada pengunjung AKM di ruang pameran MOSTI. – HARAKAHDAILY 11/8/2022

- Advertisement -