Sekuriti makanan: Perlis laksana 10 projek berskala besar

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Perlis telah memulakan strategi dan pelaksanaan bagi menggerakkan pengeluaran makanan secara komersial bermula dari tahun 2014 lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Nurulhisham Yaakob, berkata 10 projek berskala besar telah dan sedang dilaksanakan selaras dengan dasar Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025.

“Antaranya Projek Superfruits Valley seluas 50 hektar di Hutan Simpan Rimba Mas-Mas oleh FigDirect Sdn Bhd dengan tanaman lemon, buah tin, gac, markisa dan mulberi.

- Advertisement -

“Projek Tanaman Nanas MD2 seluas 87 hektar di Wang Kelian oleh GG Eco Farm Sdn Bhd dan juga projek tanaman Pisang Cavendish seluas 160 hektar di Hutan Simpan Kekal Lubuk Sireh oleh PCE Retails Sdn. Bhd,” katanya semasa menjawab soalan Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, hari ini.

Mohd Ridzuan mengemukakan soalan berhubung perancangan kerajaan negeri untuk menjadikan Perlis sebagai hab pertanian dalam skala sederhana dan besar bagi menjamin bekalan makanan untuk masa akan datang.

Nurulhisham berkata, pihaknya juga sedang membangunkan Zon Ekonomi Pertanian Bio Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NAEZ) yang diterajui oleh pihak swasta.

“NAEZ menyasarkan lebih daripada RM2.5 billion pelaburan dan lebih 2,000 peluang pekerjaan.

“Ia juga bakal meningkatkan produktiviti dan daya saing rantaian nilai industri pertanian melibatkan sektor hiliran dan huluan pertanian, penyelidikan, pembangunan dan pengkormesilan (R&D&C), modal insan dan aspek pembiayaan projek,” katanya.

Menurut beliau lagi, menerusi Jabatan Pertanian negeri, empat program utama telah dilaksanakan antaranya pewujudan ladang benih padi selaras dengan hasrat menjadikan Perlis sebagai pengeluar benih padi bernilai tinggi.

“Sehingga kini, sebanyak 228 projek telah dilaksanakan di bawah Program Pertanian Bandar dan Kebuniti melibatkan seramai 6,138 orang peserta dengan perbelanjaan berjumlah RM1 juta.

“Manakala Projek Pertanian Pemacu Ekonomi Hidroponik (PEH) pula sedang dilaksanakan secara berfasa melibatkan penyertaan peserta dari 15 kawasan Dewan Undangan Negeri.

“Program ini sekaligus akan memberi manfaat kepada 125 orang peserta,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/8/2022

- Advertisement -