Sekolah luar bandar kurang 4,732 guru

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kawasan luar bandar menghadapi kekurangan guru seramai 4,732 orang atau 4.1 peratus daripada jumlah keseluruhan guru setakat 31 Julai lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin, berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati antara faktor yang menyumbang kepada kekurangan guru di sekolah luar bandar adalah kerana kekurangan bekalan guru.

- Advertisement -

Katanya, KPM memberi perhatian terhadap pengisian guru sekolah KPM di seluruh negara, termasuk luar bandar bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Bagi menangani perkara ini, KPM melaksanakan beberapa pendekatan seperti menubuhkan Jawatankuasa Pengambilan dan Penempatan Guru KPM.

“Jawatankuasa itu berperanan mengenal pasti perubahan yang berlaku dalam dasar, kurikulum, program dan enrolmen yang memberi implikasi kepada keperluan guru, seterusnya memastikan keseimbangan dalam pengambilan serta penempatan guru sekolah KPM,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Jefridin Atan yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan kekangan paling nyata yang menjadi punca kekurangan guru di luar bandar dan inisiatif bagi menangani masalah ini.

Mohamad berkata, KPM juga mengambil guru secara `one-off’ pada tahun lalu dan sehingga 31 Julai lalu, seramai 16,381 orang guru ditempatkan di sekolah KPM dan daripada jumlah itu, seramai 5,944 orang guru ditempatkan di sekolah luar bandar.

Katanya, KPM juga melaksanakan urusan penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 Tahun 2022 selepas menerima calon PPP yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan yang dianggarkan berjumlah 15,761 guru.

“Pertukaran guru sebanyak empat kali setahun juga dilaksanakan bagi memudahkan pergerakan guru untuk mengisi kekurangan guru di luar bandar dan menggunakan kluster mata pelajaran bagi meningkatkan proses penempatan dan pertukaran guru,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/8/22

- Advertisement -