Piala AFF 2022: Undian rasmi pada 30 Ogos di Bangkok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Undian rasmi kejohanan bola sepak Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 akan diadakan pada 30 Ogos di Bangkok, Thailand.

AFF dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kejohanan yang memasuki edisi ke-14 tahun ini, akan kembali berlangsung mengikut format penuh secara timbal balik dengan 10 pasukan yang layak akan bersaing merebut gelaran berprestij ASEAN itu.

“Undian rasmi akan menyaksikan pasukan dibahagi kepada dua kumpulan dengan masing-masing lima pasukan, setiap pasukan akan bermain dua perlawanan secara timbal balik di peringkat kumpulan.

- Advertisement -

“Dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati juga dijalankan secara timbal balik untuk perlawanan separuh akhir dan akhir,” menurut AFF.

Menurut kenyataan itu, sembilan negara yang mengambil bahagian adalah Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala pasukan ke-10 akan ditentukan melalui perlawanan play-off antara Brunei dan Timor Leste.

Wakil daripada Majlis AFF, ahli-ahli persatuan, penaja dan sebahagian daripada pasukan bertanding dijangka hadir pada majlis undian rasmi yang dijadual pada 2 petang waktu tempatan.

Sementara itu, Presiden AFF Mejar Jeneral Khiev Sameth dalam kenyataan sama berkata pengumuman mengenai undian rasmi menandakan bermulanya langkah penting dalam persiapan menghadapi Piala AFF 2022.

“Kami yakin peminat dan pasukan-pasukan kebangsaan berkongsi keterujaan ini, dan undian ini bermakna bermulalah persediaan ke arah pertunjukan bola sepak terbesar di rantau ini yang akan berlangsung pada hujung tahun,” katanya.

Peminat bola sepak boleh mengikuti strim langsung sesi undian berkenaan di laman rasmi Piala AFF 2022 dan platform media sosial, serta pelbagai saluran serta platform rakan media rasmi kejohanan. – BERNAMA

- Advertisement -