Peluang industri francais untuk anak muda

- Advertisement -

DUNIA perniagaan menyajikan pelbagai pulangan, namun ramai sebenarnya berdepan pemikiran yang sempit apabila hanya terarah kepada satu pilihan. Sebagai contoh, bakal usahawan rata-rata ingin ‘terjun’ dalam dunia perniagaan dengan merintis usaha untuk mendapatkan lesen sebagai kontraktor.

Bukan kecil anak, tetapi lesen yang didambakan lazimnya tergolong dalam kelas besar, dengan harapan menggunung setiap peluang perniagaan berupaya menjana pendapatan berlipat kali ganda, bak bulan jatuh ke riba. Namun, mungkin ada yang terlepas pandang, kepesatan dunia perniagaan di Malaysia kini menghamparkan peluang menjana pendapatan tanpa sempadan. Bukan hanya semata menjadi usahawan bergelar kontraktor.

Industri francais umpamanya adalah contoh terbaik untuk usahawan muda meneroka peluang perniagaan, sekali gus berupaya mewujudkan ruang pekerjaan kepada orang lain. Berbanding sebelum ini, industri francais sering dikaitkan dengan keperluan penyediaan modal besar, sehingga berada di luar garis kemampuan usahawan muda.

Menyedari hakikat ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi Bahagian Francais dan Jualan Langsung merintis usaha ke arah menjadikan industri ini ‘mampu teroka’. Hasilnya, francais mikro dan mampu milik kini menjadi antara tawaran paling hangat untuk dipertimbangkan bakal usahawan.

Hebahan mengenai peluang perniagaan dalam industri francais ini terus diperkasa, malah semalam saya berkesempatan untuk memberi pendedahan berhubung perkara ini, menerusi jentera agensi kementerian kepada delegasi EXCO Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Terima kasih juga saya ucapkan kepada pegawai-pegawai Kementerian yang turut meluangkan masa memberikan taklimat kepada delegasi yang hadir semalam.

Melangkah ke hadapan, program pendedahan sebegini akan diperhebat dan diperluas ke Sarawak, dengan matlamat untuk menyajikan peluang menjana pendapatan bagi manfaat segenap lapisan masyarakat.

DATUK SERI ALEXANDER NANTA LINGGI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) – HARAKAHDAILY 10/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -