Padi hampa: Pesawah rugi akibat penyakit BPB

- Advertisement -

BALIK PULAU: Lebih 50 pesawah di kawasan Sungai Burung di sini menanggung kerugian selepas lebih 121 hektar sawah yang diusahakan hanya mengeluarkan padi hampa atau tidak berisi akibat serangan penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB).

Keadaan itu menyebabkan sumber pendapatan mereka terjejas dan lebih memeritkan apabila ia berlaku ketika masing-masing memerlukan wang untuk perbelanjaan harian pada fasa pemulihan pandemik COVID-19.

Seorang pesawah Azahri Hariff, 44, berkata setiap musim dia membelanjakan kira-kira RM60,000 bagi mengusahakan sawah seluas 14 hektar di kawasan tersebut. 

Bagaimanapun, katanya semasa membuat tinjauan di sawahnya baru-baru ini, dia mendapati kebanyakan tanaman padinya diserang penyakit BPB yang sudah pasti menjejaskan pengeluaran padi.

“Biasanya setiap kali musim menuai, saya dapat menghasilkan antara 80 hingga 90 tan padi tetapi musim ini pengeluarannya terjejas teruk akibat penyakit itu.

“Saya percaya penyakit Hawar Bulir Bakteria yang menyerang tanaman padi di kawasan Sungai Burung ini berpunca daripada faktor perubahan cuaca yang tidak menentu kini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Azahri berharap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dapat membantu para pesawah yang terjejas pendapatan dan mengalami kerugian akibat serangan penyakit berkenaan.

Seorang lagi pesawah di Sungai Burung, Talib Hamid, 70, berkata serangan penyakit BPB itu pertama kali berlaku di kawasan tersebut yang menjejaskan hasil tuaian.

Katanya pada musim ini dia hanya memperoleh lima tan padi hasil tuaian di sawah seluas 2.02 hektar.

“Kebiasaannya saya mampu memperoleh antara 15 hingga 16 tan padi tetapi musim ini terjejas teruk akibat penyakit ini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -