MN: PAS Perlis sentiasa buka ruang kepada Umno

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
PAS Perlis sentiasa membuka ruang khasnya kepada Umno negeri untuk terus bersama dalam Muafakat Nasional (MN).

Pesuruhjayanya, Mohd Shukri Ramli menzahirkan kekecewaan kerana Umno Perlis menyatakan hasrat untuk tidak lagi berkawan dengan PAS.

“Kita kini sedang usahakan perpaduan ummah, tetapi Umno pula menyatakan hasrat sebaliknya.

“Walau bagaimapun kita sentiasa bersedia, kerana sebelum ini saya pun runsing mahu meletakkan calon di mana sebab Arau dan Padang Besar masih bersama dengan kita,” katanya yang juga ADUN Sanglang ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini.

Advertisement

Menurutnya lagi, Arau kini sedang berusaha untuk kembalikan MN seperti sebelum ini.

“Alhamdulillah kami di Arau, mengalukan hasrat Umno dan Barisan Nasional bahagian Arau untuk bersama dalam MN.

“Namun begitu, harapan saya masih mahukan MN ini kembali dan kepada kawan-kawan yang bukan Islam juga dialukan untuk bersama dengan kita,” katanya lagi.

Beliau turut menyentuh aspek kebersihan yang wajar dititikberatkan untuk memastikan Perlis terus mendapat tempat di hati pelancong,

“Walaupun kerajaan negeri mempunyai Agenda Perlis Bersih Sihat 2021-2025, kerjasama erat dari setiap rakyat amat diperlukan.

“Setiap rakyat perlu mengubah sikap dan meningkatkan amalan kebersihan dalam kehidupan terutama penjagaan alam sekitar dan premis makanan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/8/2022