Mesyuarat JK pemantauan projek selesai isu berbangkit

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Mesyuarat jawatankuasa koordinasi dan pemantauan projek-projek negeri diadakan dua minggu sekali bagi memantau pelaksanaannya secara berkala dan terperinci.

Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man berkata, menerusi mesyuarat tersebut ia dapat menyelesaikan isu-isu berbangkit yang timbul dalam projek terbabit.

“Bagi projek Jeti Bersepadu Sanglang, ia dibangunkan oleh Syarikat Mutiara Perlis. Sdn. Bhd. dengan kerjasama Menteri Besar Incorporation (MBI), kerajaan negeri dan MBI sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak syarikat bagi membantu dan menyelesaikan isu-isu berbangkit berkaitan dengan kelulusan dasar melibatkan kementerian dan agensi berkaitan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang) mengenai pendekatan yang dibuat oleh kerajaan negeri untuk menyegerakan pembangunan yang dirancang seperti Jeti Bersepadu Sanglang, Kangar Sentral dan Pelaburan Darat Perlis (Perlis Inland Port – PIP).

Sementara itu, ujarnya untuk projek Kangar Sentral, kerja di tapak kini sedang giat dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis (JKR) bermula Oktober 2020.

“Prestasi fizikal bagi pelaksanaan projek sehingga 25 Julai 2022 bernilai 39.50 peratus iaitu lewat lapan hari seperti yang dijadualkan. Projek sepatutnya siap 40.38 peratus mengikut jadual asal,” katanya lagi.

Menurut beliau, bagi projek PIP, pembangunan kawasan operasi PIP dilaksanakan oleh Mutiara Perlis Sdn Bhd dengan kerjasama MBI manakala infrastruktur luaran PIP dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

“Pelaksanaan fizikal projek dijangka bermula pada September 2022 oleh pemaju utama yang dilantik Mutiara Perlis Sdn Bhd.

“Bagi infrastruktur luaran PIP, pihak NCIA telah memulakan kerja-kerja tanah di kawasan tapak bagi Pakej 1 Jalan Kepungan (Bonded Road) sejak Februari 2022 untuk pembinaan jalan dan prasarana PGA,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/8/2022

- Advertisement -