Kenapa KKM bersungguh sangat untuk mengawal vape?

- Advertisement -

APA yang anda perlu tahu mengenai undang-undang penggunaan dan penjualan vape dalam negara kita?

Pasaran vape dalam negara kita sejak tahun 2013 mencanak naik dan majoriti penjualannya adalah dalam kalangan Melayu. Isu penjualan vape menjadi heboh pada tahun 2015 apabila kerajaan membuat serbuan ke atas premis vape. Sehinggalah Menteri Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan untuk mengawal selia penjualan vape melalui kaedah undang-undang. 

Ahli agama dan ahli akademik berbincang rancak mengenai kesan buruk vape dan hukum yang berkaitan dengannya sehinggalah majlis fatwa telah mengeluarkan fatwa haram pada 21 Disember 2015.

Namun, perkara itu berlalu begitu sahaja setelah mendapat jaminan dari Menteri Kesihatan untuk industri vape ini terus dibuka dan beroperasi dengan beberapa syarat yang tertentu. Kini sudah hampir 7 tahun berlalu dan pakar-pakar seluruh dunia melihat satu persatu masalah yang timbul akibat dari pengambilan vape itu.

Pemantauan terus dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan dengan menubuhkan beberapa jawatankuasa khas bagi menilai baik buruk vape ini dan meneliti dari sudut mengawal selia.

Buat masa ini undang-undang yang sedia ada berkaitan dengan penjualan vape adalah masih longgar. Antara undang-undang yang boleh digunakan oleh Kementerian Kesihatan ataupun pihak yang diberi kuasa adalah:

1. Akta Racun 1952. Ekstrak tembakau yang diberi nama Nikotin dimasukkan di dalam Akta Racun ini, di mana tidak boleh seseorang menggunakan Nikotin dalam apa saja bentuk kecuali mendapat kebenaran dari pihak KKM.
2. Akta Kawalan Tembakau 2004 serta beberapa peraturan pindaan yang termaktub di dalamnya. Pengecualian terhadap tembakau, di mana tembakau adalah bahan mentah yang diluluskan penggunaannya di bawah Akta Makanan.
3. Akta Makanan 1983 dan Penjualan Hasil Tembakau 1985, Peraturan-Peraturan Kawalan Tembakau 2018 yang menetapkan premis tertentu tidak dibenarkan menjual hasil tembakau.
4. Larangan kepada kanak-kanak bawah 18 tahun (orang bukan dewasa).
5. Larangan terhadap pengiklan hasil tembakau yang termasuk dalam Akta Pengiklanan 1956.

Akan tetapi akta di atas longgar menyebabkan pengusaha-pengusaha vape boleh membuka kedai-kedai vape mereka di lokaliti yang tertentu atas alasan penjualan alat elektronik. 

Dalam masa yang sama mereka juga menjual produk-produk hasilan tembakau termasuk vape dan cecairnya. Kita juga tidak ada kawal selia dalam bentuk pengiklanan produk tembakau, peranti dan bahan tembakau. Undang-undang untuk mengawal selia penjualan dan pengiklanan dalam media sosial juga tidak wujud.

Pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia hanya boleh membuat serbuan jika terdapat aduan ataupun buat serbuan secara berkala untuk memastikan mereka mematuhi Akta Racun 1952 dan Akta Kawalan Tembakau 2004. 

Pihak Berkuasa Tempatan juga tidak boleh menghalang mereka yang membuka premis yang menjual vape kecuali diputuskan oleh Dewan Undangan Negeri yang menetapkan syarat-syarat bagi setiap Pihak Berkuasa Tempatan untuk menghalang premis penjualan vape. Contohnya di Selangor telah pun dikemukakan Akta dalam mesyuarat kerajaan negeri pada 2016. Begitu juga dengan Negeri Johor melalui arahan yang telah dibuat oleh Sultan Johor untuk menghalang atau melarang penjualan vape dalam Negeri Johor.

Tetapi, penguatkuasaan di negeri-negeri lain masih lagi tidak menentu. Bahkan penguatkuasaan di negeri-negeri yang telah lulus dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan pun terdapat kelompongan. Buktinya kita boleh melihat sendiri kedai vape tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Seolah-olah tiada ketegasan dari Pihak Berkuasa Tempatan.

Peluang kelompongan undang-undang inilah menyebabkan industri vape bebas untuk membuat iklan yang begitu menggiurkan. Walaupun serbuan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dijalankan tetapi proses pendakwaan mengambil masa terlalu lama. 

Terdapat kes dakwaan tahun 2018 masih belum lagi selesai di mahkamah akibat daripada definisi akta yang kurang jelas dan bukti pendakwaan yang tidak kukuh. Sedangkan mereka terang terangan menjual vape yang dicampur dengan Nikotin, bahkan dicampur dengan bahan-bahan terlarang.

Atas kesempatan kelonggaran itulah industri vape dalam negara kita adalah yang tertinggi di Asia Tenggara. Pengguna vape yang baharu bertambah 100 peratus dari statistik tahun 2015. Pengguna vape dari negara kita adalah 1.2 juta berbanding 600,000 pada tahun 2015. Bahkan pembuatan cecair vape dalam negara kita adalah yang terbesar di dunia. Pengeluarannya dengan pelbagai kreativiti perisa yang digunakan demi menarik minat pengguna vape termasuk kanak-kanak.

Klausa dalam akta yang sedia ada tidak dapat mengekang sepenuhnya industri vape ini. Maknanya, kita tidak boleh dihapuskan sepenuhnya penjualan vape itu seperti mana di negara-negara lain seperti Thailand, Singapura dan Brunei yang ‘total ban’ ke atas industri vape dalam negara mereka. Di negara-negara Eropah juga seperti Sweden dan sekitarnya telah pun membuat akta yang lebih tegas berkaitan dengan penjualan vape sama ada mengandungi Nikotin ataupun tidak.

Adakah kami dengki terhadap pasaran vape ini? Tidak! Sebaliknya kami berusaha untuk menjaga kesihatan rakyat supaya tidak terus dilanda dengan merosakkan diri mereka. Lihat sendiri berita setiap hari terbukti satu demi satu keburukan vape dalam negara kita dan seluruh dunia. 

Kami tidak ada kepentingan peribadi pun dalam isu ini; sama ada duit gaji tidak masuk ataupun ubat-ubat hospital yang tidak laris. Tidak sebenarnya. Kami kesian setelah melihat kemusnahan dan kerosakan individu akibat dari vape ini datang ke klinik dan hospital. Kami terpaksa bekerja lebih untuk merawat mereka. Kerajaan terpaksa menggunakan banyak duit bagi merawat komplikasi vape ini.

Matlamat utama kami adalah demi kesihatan. Kami berharap supaya perkara ini dapat dikawal selia dengan segera dan sebaik mungkin supaya generasi akan datang tidak terjerumus dalam bahana vape ini.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 10/8/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -