Kenaikan harga lembu korban membimbangkan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, melahirkan kebimbangan mengenai kenaikan harga lembu untuk ibadah korban setiap tahun yang naik terlalu tinggi.

Katanya, perkara ini bukan baharu kerana ceritanya didengari sejak puluhan tahun lalu dengan harga seekor lembu korban naik antara RM500 hingga RM1,000 setahun.

- Advertisement -

“Kalau dulu seekor lembu berharga RM7,000, (saiznya) sungguh besar, sekarang sederhana sahaja, malah kecil. Alangkah baik jika FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) boleh memainkan (peranan) dan cuba melengkapkan ruang kosong ini.

“Sebagai contoh di Arab Saudi, kita tahu apabila ibadah korban diadakan, harganya tetap naik, tetapi tidak banyak. Kalau harga kambing 400 Riyal tahun ini, tahun lepas pun 400 Riyal, dua tahun lepas pun 400 Riyal. Kita tak nafi harga naik sikit di negara ini, tetapi kadang-kadang kita tengok teramat banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 di Dewan Negara, hari ini.

Dr Zulkifli berkata, isu yang dibangkitkan ini bertujuan memberikan sedikit pertolongan untuk memudahkan mendapat lembu dengan harga dalam keadaan selesa serta dalam kemampuan bukan hanya pihak yang kaya, malah pihak yang sederhana.

Sementara itu, katanya penting untuk melihat negara besar seperti China yang membina rangkaian yang baik dari sudut mendigitalkan hasil pertanian.

“Dalam satu rencana digambarkan bagaimana seorang petani miskin, duduk jauh dari Beijing hanya menggunakan satu aplikasi dan barang itu diambil tepat pada masa dan dibayar menggunakan sistem bayaran tanpa tunai yang cukup mudah.

“Alangkah baiknya jika FAMA juga boleh mempertimbangkan kaedah seperti itu saat kita sendiri kerap memperkatakan mengenai digitalisasi,” katanya.

Beliau berkata, perkara ini boleh dikembangkan lagi jika FAMA mempunyai daya kekuatan untuk membina satu aplikasi dan dengan cara ini memberi kesan cukup besar dan memudahkan pemasaran FAMA. – HARAKAHDAILY 10/8/22

- Advertisement -