Kelantan lokasi terbaik pelabuhan selamatkan Malaysia

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kelantan adalah lokasi terbaik sebagai pelabuhan yang membolehkan Malaysia menghadapi ancaman ekonomi berikutan rancangan Thailand untuk memajukan projek jambatan darat di selatan negara itu.

Senator Mohd Apandi Mohamad berkata, kerajaan negara jiran, Thailand, berpandangan jauh dengan sebelum ini diwar-warkan akan membuat terusan dari Pantai Barat ke Timur bagi membolehkan kapal melalui terusan di Segenting Kra.

- Advertisement -

Katanya, projek itu jika dilaksanakan akan menjimatkan waktu perjalanan kapal selama beberapa hari berbanding melalui Selat Melaka dan Singapura.

“Namun, Thailand sekarang bersetuju untuk membina jambatan darat. Jika ini menjadi kenyataan, ia juga adalah ancaman kepada Malaysia dan Singapura.

“Sudah tentu saya memikirkan lokasi terbaik sebagai pelabuhan untuk menyelamatkan negara kita adalah di Kelantan yang paling dekat dengan kawasan pembangunan lain Asia,” katanya membahaskan Rang Undang-Undang Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 di Dewan Negara, hari ini.

Mohd Apandi mengucapkan terima kasih kepada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kerana menjadikan Kota Bharu sebagai terminal terakhir projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana bukan sahaja akan digunakan oleh orang Kelantan, malah penduduk selatan Thailand.

Sehubungan itu, katanya kerajaan perlu benar-benar fokus terhadap pembangunan Pantai Timur kerana berdasarkan Bajet, peruntukan untuk negeri Pantai Timur kurang berbanding negeri Pantai Barat.

“Bermula sekarang, kita mesti melihat tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang kerana jika kawasan ECER, terutama Kelantan dimajukan, Insya-Allah akan memberi banyak kebaikan kepada negara secara keseluruhan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/8/22

n

- Advertisement -