Jangan berlengah tangani segera isu LCS

- Advertisement -

SAYA merujuk kepada isu pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai atau Littoral Combat Ship (LCS) yang belum dapat menyiapkan kapal pertama dari 6 buah yang dijanjikan walaupun kos sebanyak RM9 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan kepada projek ini.

Bahkan, proses pembinaan kapal-kapal ini telah melewati dari jadual asal dan seterusnya menyulitkan kesiapsiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai barisan hadapan keselamatan di lautan negara. 

Menurut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dimaklumkan bahawa bayaran yang telah diterima oleh Syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) digunakan kepada projek yang tidak berkaitan dengan projek LCS. 

Tambahan pula, saya dimaklumkan bahawa kontrak-kontrak yang telah disetujui oleh kedua belah pihak dilihat tidak seimbang dan tidak menyebelahi kerajaan. Campur tangan kerajaan juga dalam menentukan kehendak reka bentuk kapal juga menjadi salah satu faktor bahawa kerajaan ketika itu mengabaikan keperluan TLDM untuk mempunyai teknologi kapal yang canggih. 

Sebagai respon balas, Menteri Pertahanan telah memaklumkan Dewan Negara semalam bahawa jika terbukti adanya salah laku, langkah tegas akan diambil oleh kerajaan kepada pihak yang melakukan penyelewengan dalam projek ini. Bahkan, Menteri Pertahanan juga memberi jaminan bahawa pihak yang didapati bersalah akan diambil tindakan dengan segera. 

Saya juga ingin mengalu-alukan penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengambil langkah yang proaktif dan bebas bagi menyiasat pihak yang terlibat supaya petualang kepada negara akan dihukum dengan lunas udang-undang.

Saya ingin mencadangkan supaya Kementerian Pertahanan melakukan pemeriksaan berkala dari masa ke masa supaya kontraktor yang bertanggungjawab menunaikan janji dan menyiapkan projek ini mengikut jadual. Saya berpendapat kelewatan yang berulang lagi selepas ini berpotensi akan memakan kos lebih tinggi dan merugikan wang pembayar cukai. 

“Islam Menyatukan Ummah”

YB TUAN HAJI WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 10/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -