Isu caruman KWSP kurang daripada RM10,000: Apa solusinya?

- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Jalan penyelesaian atau solusi pintar yang efektif  perlu dilaksanakan segera demi segera membantu 6.62 juta ahli atau 52 peratus daripada 12.78 juta jumlah keseluruhan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur di bawah 55 tahun yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

Penganalisis Sosio-ekonomi di Pusat Penyelidikan Strategik (PPS), Ahmad Fauzi Mustafa berkata demikian dalam mengulas tentang pembentangan yang dilakukan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah pada  persidangan di Dewan Negara baru-baru ini.

- Advertisement -

Pada pembentangan itu Mohd Shahar ketika menjawab soalan Senator, Datuk Razali Idris mengenai langkah untuk menyelamatkan ahli pencarum KWSP yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 berkata bahawa, tahap simpanan ahli KWSP adalah rendah dan sangat membimbangkan.

“Ia adalah terutamanya setelah pelaksanaan empat fasiliti pengeluaran berkaitan Covid-19 iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra serta Pengeluaran Khas dan pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerja bagi tempoh 27 bulan (April 2020 sehingga Jun 2022),” katanya kepada HarakahDaily.

Sehubungan itu, Ahmad Fauzi menegaskan, pengeluaran simpanan ahli KWSP berskala besar di bawah i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas telah dijangka akan memberikan kesan kepada simpanan dalam kalangan ahli dan fungsi KWSP itu sendiri.

“Tidak terkecuali juga langkah-langkah berhemah yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan terhadap kadar caruman berkanun syer pekerja bagi tempoh 27 bulan (April 2020 sehingga Jun 2022) turut memberi impak yang sangat besar kepada jumlah caruman,” jelasnya.

Justeru, ujar beliau, pelaksanaan 4 program oleh pihak kerajaan itu buat pencarum KWSP adalah berdasarkan niat untuk membantu rakyat atau pencarum itu sendiri terutama dalam keadaan bagi  mendepani kelangsungan hidup ketika negara  berada dalam suasana pandemik Covid-19, pasca pandemik Covid-19 serta pemulihan ekonomi isi rumah. 

Selain itu, beliau juga turut berpandangan bahawa pencarum KWSP telah banyak menikmati dan membantu pelbagai tujuan di atas pengeluaran wang KWSP ini dan mereka sendiri telah memahami akan keperluan wang kepada mereka ketika itu.

“Namun begitu, lebih membimbangkan buat masa ini adalah 3.20 juta ahli di bawah umur 55 tahun mempunyai kurang daripada RM1,000 yang mana 2.58 juta atau 81 peratus adalah ahli KWSP ialah golongan bumiputera,” ujarnya.

Tambah Ahmad Fauzi, pada masa ini orang ramai seharusnya memahami dan sedar bahawa pihak kerajaan menerusi KWSP telah melakukan pendekatan yang berani dan baharu menerusi program i-Saraan yang membolehkan ahli mencarum secara sukarela mengikut kemampuan sehingga RM60,000 setahun, di samping i-Suri.

Pelaksanaan empat fasiliti pengeluaran i-Sinar bermatlamat untuk membantu rakyat di negara ini yang sebelum ini terkesan dengan pandemik Covid-19.

“i-Saraan merupakan caruman sukarela dengan Insentif Persaraan (i-Saraan) membolehkan ahli yang bekerja sendiri dan golongan yang tiada pendapatan tetap untuk membuat caruman secara sukarela untuk tujuan persaraan.

“Pada masa yang sama, mereka ini akan menerima caruman tambahan sebagai insentif daripada pihak kerajaan.

“Ahli yang berumur di bawah 60 tahun akan menerima sumbangan kerajaan sebanyak 15 peratus daripada jumlah caruman, tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM250 dalam setahun,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau percaya bahawa KWSP akan memastikan ahli KWSP tidak terabai demi kepentingan persaraan di masa hadapan.

Namun begitu, Ahmad Fauzi  turut mencadangkan agar wang simpanan ahli KWSP di bawah RM10,000 perlu dimasukkan dalam pelaburan mutual yang dijamin selamat oleh KWSP itu sendiri. 

KWSP telah melakukan pendekatan berani dan baharu menerusi program i-Saraan yang membolehkan pencarum mencarum secara sukarela mengikut kemampuan sehingga RM60,000 setahun.

“Program ini sememangnya ada, cuma perlu disesuaikan dan dimudahkan prosedurnya dalam menggandakan wang simpanan ahli yang kurang itu akan boleh dipertingkatkan berkali ganda dan berdaya maju menerusi dividen yang besar di bawah pelaburan mutual ini,” jelasnya lagi.

Selain itu, Ahmad Fauzi turut mencadangkan agar pencarum KWSP yang berumur di bawah 55 tahun, dengan jumlah caruman  kurang daripada RM10,000 wang perlu  juga dibantu dari segi sumber pendapatan,  sama ada mereka ini tergolong dalam kelompok penganggur, kehilangan separuh punca pendapatan atau sebagainya. 

“Oleh yang demikian, KWSP perlu mempunyai pasukan petugas khas untuk mengenal pasti ahli KWSP yang terjejas ini sebagai sebahagian Program Khidmat Masyarakat (CSR),” ujarnya.

Beliau menambah, bagi mengukuhkan lagi struktur dan fungsi KWSP itu sendiri, pengurusan kanan disarankan agar dapat mempelbagaikan usaha mencari pelaburan baharu, pelaburan strategik serta pemilikan syer atau pembelian strategik ke atas ekuiti aset, pasaran domestik dan antarabangsa sebagai jangka sederhana dan jangka masa panjang kepada KWSP itu sendiri. 

“Langkah sedemikian itu secara tidak langsung dapat memberikan keupayaan kepada pihak KWSP untuk menyediakan dividen yang tinggi dan wajar kepada pencarum KWSP itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/08/2022

- Advertisement -