Dr Datu Bandira Datu Alang: Budayawan Islam Sabah

- Advertisement -

PENGENALAN

Tarikh 9 Ogos adalah satu detik yang sangat dikenang oleh ahli-ahli PAS Sabah kerana pada tarikh ini mereka telah kehilangan seorang pemimpin dan tokoh yang sangat berwibawa, Dr Datu Bandira Datu Alang. Dalam satu kemalangan jalan raya pada pukul 1:20 pagi di Jalan Lahad Datu-Tawau, kereta SR Double Cab yang dipandu oleh Norbin telah terbabas. 

Mereka sebenarnya baru sahaja selesai menghadiri mesyuarat parti di Bukit Garam, Kinabatangan dan terpaksa bergegas ke Tawau, kerana pada pagi besoknya, Datu Bandira akan merasmikan satu program PASTI di sana. Kemalangan yang meragut nyawa Pesuruhjaya PAS Sabah dan mencederakan dua yang lain termasuk anak Datu Bandira, Datu Nizamuddin itu telah mencatatkan sejarah pahit dalam perjuangan PAS Sabah. 

Namun begitu, semua ahli PAS Sabah redha dengan ujian dan ketentuan Allah ini, mereka tetap menyambung legasi perjuangan yang ditinggalkan oleh Datu Bandira sehingga PAS Sabah menjadi lebih kukuh pada hari ini.

Sebenarnya tidak ramai anak jati Sabah atau Sabahan yang terlibat aktif dengan PAS sebelum tahun 2000. Lebih-lebih lagi dengan kamasukan Umno dan pembubaran Usno pada 1990, kebanyakan orang Islam bergiat dalam parti kebangsaan itu untuk menyaingi pengaruh parti-parti pembangkang seperti PBS, Pasok Momogun, STAR dan lain-lain. 

Dr Datu Bandira Datu Alang sendiri merupakan seorang pemimpin Umno pada peringkat awal, tetapi akhirnya memilih bersama dengan PAS kerana kecenderungannya kepada perjuangan Islam. Sebelum muncul sebagai tokoh politik yang penting di Sabah, Datu Bandira telah dikenali umum kerana aktiviti kesusasteraan dan bahasa yang dilibatinya sejak muda. 

Bahkan, beliau juga merupakan seorang pengkaji bahasa dan kebudayaan Iranun yang terkenal, sehingga dilantik sebagai Pegawai Perancang Bahasa dan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah. Setelah menyertai PAS, nama beliau melonjak naik, terutama setelah diberikan kepercayaan sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah sejak 20 Jun 2001.

Biografi ringkas Datu Bandira

Datu Bandira atau Bandira Sialang telah dilahirkan dalam sebuah keluarga pengukir dan petani yang kuat beragama pada 3 Jun 1956 di Kampung Rampaian Laut, Kota Belud. Keluarganya adalah keturunan bangsawa Iranun, atau biasa disebut juga sebagai suku Illanun yang asal-muasalnya dari Magiundanoa, Mindanao. 

Ayahnya, Haji Omar atau Datu Alang bin Datu Sumabalang adalah berasal dari Kota Peladok dan bekerja sebagai petani serta pembuat dan pengukir sarung parang, pelana kuda dan kerusi rotan. Ibunya pula bernama Hajah Gambar Sawasa binti Datu Imai, seorang nelayan, pemukat bilis, udang bubuk, ketam dan pencari lokan dan siput dari Kampung Rampaian Laut. 

Ketika Datu Alang mengahwini Hajah Gambar Sawasa, beliau adalah seorang duda yang mempunyai lima orang anak yang telah berjaya, manakala isterinya adalah seorang janda beranak satu. Hasil perkahwinan ini, mereka dianugerahkan empat orang anak termasuk Datu Bandira dan adiknya, Hajah Tungganai Datu Alang, bekas Pengarah Jabatan Audit Negara Sabah.

Pendidikan awal Datu Bandira diperolehi di Sekolah Rendah Kebangsaan Nanamun, Kota Belud sejak 1964 hingga 1969, kemudian memasuki Sekolah Menengah Kota Belud (sekarang SMK Arshad) sejak 1970. Ketiba bersekolah di sini, beliau tinggal bergilir-gilir di rumah abang-abangnya (yang berlainan ibu) di Kampung Sembirai, kemudian di Kampung Lebak Engad dan akhirnya di Kota Peladok, tempat asal ayahnya. 

Pada 1974, beliau mula tinggal di asrama sekolah, tetapi pada 1975, beliau mendapat biasiswa Yayasan Sabah untuk menamatkan pengajian di peringat menengah atas di Semenanjung selama dua tahun. Pada 1978, beliau ditawarkan belajar di Sekolah Sains Sosial dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan membuat pengkhususan di Jabatan Sejarah. Kajian akhir tahun beliau pada 1983 adalah mengenai sejarah dan perkembangan pendidikan menengah di Sabah.

Bermula dengan kajian beliau mengenai sejarah pendidikan ini, Datu Bandira kemudiannya membuat kajian yang lebih mendalam mengenai budaya dan adat tradisi masyarakat Iranun di Sabah dalam kajian sarjananya yang dimulakan pada 1984-1985 ketika beliau bertugas sebagai Pegawai Perancang Bahasa dan Budaya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah di Kota Kinabalu, sehingga beliau anggap peneroka mengenai kajian kebudayaan Iranun. 

Sebuah kajiannya, Iranun: Sejarah dan Adat Tradisi telah diterbitkan oleh DBP pada 1992. Namun begitu, pada pertengahan 1986, beliau berhijrah ke Tawau kerana berkhidmat sebagai Pegawai Turus Felda Sabah dengan jawatan sebagai Pengurus Sumber Manusia yang beribu pejabat di Tawau. Ketika berada di Tawau ini, beliau telah aktif dalam aktiviti sastera dan penyelidikan budaya Iranun. 

Pada mulanya, beliau menjadi Pengerusi Badan Bahasa Tawau, di mana beliau sering berpolemik di akhbar-akhbar mengenai isu bahasa dan budaya Iranun dengan menggunakan nama pena Datu Bandira al-Sabah sehingga namanya mulai terkenal dalam kajian kebudayaan Sabah.

Pada akhir 1986, Datu Bandira telah menyertai Perkampungan Sasterawan 1986 di Sandakan yang mempertemukan para sasterawan, budayawan dan pengkaji budaya Sabah. Beliau juga mempunyai hubungan rapat dengan seorang pengkaji bahasa Iranun, Prof Emeritus Dr Howard P. McKaughan dari University of Hawaii. 

Sejak itu juga, Datu Bandira mulai giat membentangkan kertas-kertas kerja mengenai bahasa dan budaya Iranun dalam seminar-seminar antarabangsa dan tempatan. Beliau menghasilkan buku bertajuk Perkahwinan Tradisi Masyarakat Iranun di Sabah (1986), Suku Iranun di Sabah, sebuah artikel dalam buku Warisan Budaya Sabah: Etnisiti dan Masyarakat (2004) dan Sasterawan: Nukleas Sosialisasi Masyarakat Alaf Baru (1999).

Pada 25 Oktober 1997, beliau membentangkan sebuah kertas kerja bertajuk Pengaruh Bahasa Melayu Dalam Pemodenan Budaya Bumiputera di Sabah dalam Seminar Penggunaan Bahasa Melayu di Sabah. Beliau turut menjadi Presiden Persatuan Bumiputera Iranim Sabah (PISBA).

Datu Bandira juga bertanggungjawab mengusulkan penubuhkan Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA) pada 2003 ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Iranum Dalam Konteks Rantau Melayu: Harapan dan Hala Tuju, dalam Seminar Majlis Graduan Iranum Sabah (MAGISA) pada 17 Mei 2003. 

Walaupun PAGISA hanya dapat ditubuhkan pada 2005, iaitu selepas kematiannya, tetapi sumbangan beliau dalam kegiatan kebudayaan masyarakat Iranun sangat bermakna, terutama bagi PISBA, kerana era kepemimpinannya dianggap zaman kemuncak persatuan itu. Beliau juga telah merancang untuk menulis Kamus Iranun-Melayu dan Kamus Iranun-Melayu-Arab, tetapi tidak menjadi kenyataan. 

Kerana sumbangan besar beliau dalam penyelidikan, penulisan dan perjuangan budaya Iranun ini, Sto Nino Collegio, sebuah universiti swasta tertua di Mindanao telah menganugerahkan kepada beliau ijazah Doktor Pesuratan Kehormat (DLitt Hon). Sebelumnya, beliau telah lulus ijazah Kedoktoran Falsafah (PhD) dari Al-Manaf International University, Lousiana, Amerika Syarikat.

Dari dunia budaya ke alam politik

Penglibatan Dr Datu Bandira dalam dunia sastera, bahasa dan budaya telah menjadikan beliau seorang tokoh yang terkemuka di Sabah, khususnya di Tawau, tempat beliau bertugas. Sejak awal penglibatannya, Datu Bandira tidak cenderung kepada dunia politik kerana lebih berminat dengan kajian budaya Iranun yang diterokainya. 

Tetapi, dengan kemasukan Umno ke Sabah setelah PBS keluar dari BN menjelang Pilihan Raya Umum 1990, diikuti oleh penggabungan USNO dan Berjaya untuk menubuhkan Umno, Datu Bandira memilih menyertai parti yang baru ditubuhkan ini pada 1991. 

Beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Tawau, kemudian dalam pemilihan Umno 1993, Datu Bandira telah terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tawau dan beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Bahagian Tawau untuk sesi 1993-1998 di atas kebolehan beliau menulis dan berwacana. Namun begitu, pada 1997, beliau telah berpindah ke Kota Belud, tempat kelahirannya kerana bertukar tempat kerja.

Datu Bandira telah menyertai Lembaga Pemasaran Ikan Sabah (SAFMA) pada 1997 dengan jawatan sebagai Pengurus Sumber Manusia, tetapi setahun kemudian dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Besar SAFMA. 

Ekoran perpindahan ini, Datu Bandira telah aktif dalam Umno Kota Belud dan dicalonkan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Kota Belud pada 1998, tetapi beliau tewas dalam pemilihan ini kerana beliau bertanding tanpa mengamalkan politik wang. 

Dalam tahun 1998 itu juga, telah berlaku krisis besar dalam Umno ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Presiden Umno dan juga Timbalan Perdana Menteri. Datu Bandira yang telah kecewa dengan budaya politik wang yang diamalkan dalam Umno dan tidak senang dengan pergolakan politik yang berlaku, telah mengambil keputusan untuk menyertai PAS pada November 1999.

Sebenarnya, Datu Bandira telah berminat dengan PAS sejak tinggal di Tawau lagi, di mana anak-anaknya dihantar belajar di PASTI. Bahkan, beliau pernah menghadiri program PAS bersama Tuan Haji Subky Latif di Tawau pada 1986, tetapi ketika itu PAS Sabah baru dibentuk dan organisasinya masih lemah. 

Pun begitu, beliau memilih untuk menghantar anak-anaknya mengikuti pendidikan Islam yang diperkenalkan oleh PAS. Beliau juga turut mempunyai hubungan peribadi dengan para pemimpin Islam Moro yang berjuang di Mindanao, tanah asal nenek moyangnya. 

Pada 1999, beliau pernah ditawarkan untuk menjadi ahli dan pimpinan Parti Keadilan Nasional (PKN) yang ditubuhkan oleh penyokong Anwar Ibrahim, tetapi beliau menolak. Namun, ketika diajak menyertai PAS dalam bulan November 1999, beliau telah tersetuju menjadi ahli PAS ketika itu di Kota Belud.

Sebaik sahaja menyertai PAS, Parlimen telah dibubarkan dan PAS Kota Belud menawarkan kepada beliau untuk menjadi calon memandangkan beliau adalah seorang pemimpin Iranun yang terkenal dan pernah menjadi pemimpin Umno. 

Pada 1999 itu, beliau mewakili PAS menentang Datuk Salleh Said Keruak di Parlimen Kota Belud, tetapi tewas. Selepas pilihan raya ini, PAS Sabah telah melantik beliau sebagai Ketua Penerangan PAS Sabah untuk sesi 1999-2001 yang membuatkan beliau menjelajah ke seluruh Sabah untuk meluaskan pengaruh PAS. 

Kerana komitmen tinggi beliau dalam perjuangan Islam di Sabah dan keuzuran Haji Mohammad Abdullah, dalam tahun 2001, beliau diberi kepercayaan oleh Presiden PAS untuk menjadi Pesuruhjaya PAS Sabah yang ketiga bagi sesi 2001-2003. Pelantikan ini telah meletakkan beliau sebagai seorang tokoh politik muda yang penting di Sabah ketika itu.

Sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah, Datu Bandira terlebih dahulu dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Kota Belud dalam tahun 2001 itu juga. Sejak bersara dari SAFMA pada akhir 1999, boleh dikatakan beliau menjadi ahli politik sepenuh masa, di samping terlibat dalam pergerakan kebudayaan Iranun. 

Pada 2003, beliau dilantik buat kali yang kedua sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah untuk sesi 2003-2005. Di atas kedudukannya sebagai pemimpin utama PAS Sabah, dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 2004, beliau dicalonkan untuk bertanding di DUN Tempasok menentang Tan Sri Pandikar Amin Mulia, tetapi beliau telah tewas.

Walaupun kalah dalam pilihan raya, beliau tidak kecewa, sebalik terus aktif memimpin PAS Sabah. Pada zaman kepemimpinannya, PAS telah berjaya dikembangkan ke beberapa kawasan yang dahulunya sukar ditembusi seperti Beluran, Libaran, Sepanggar dan lain-lain.

Tragedi di Kinabatangan

Pada 8 Ogos 2004, sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah, Datu Bandira telah menghadiri satu mesyuarat parti di Bukit Garam, Kinabatangan. Setelah mesyuarat itu tamat, beliau segera bergegas ke Tawau kerana satu program PASTI di Tawau pada pagi keesokan harinya. 

Dalam perjalanan dari Lahad Datu ke Tawau itu, telah berlaku kemalangan di Km.22, Jalan Lahad Datu-Tawau pada jam 1:20 pagi, 9 Ogos 2004. Dalam kemalangan ini, Dr Datu Bandira telah terbunuh kerana dihempap oleh kenderaan yang dinaikinya, sedangkan anaknya, Nizamuddin (6 tahun) dan seorang sahabatnya, Disham Yadash telah cedera parah. 

Beliau meninggalkan seorang isteri, Puan Natrah Abdul Samad dan tujuh orang anak. Pada jam 2:25 petang hari yang sama, jenazahnya diterbangkan dari Tawau ke Kota Kinabalu untuk dikebumikan di Kota Belud. 

Perjuangan beliau dalam PAS tidak lama, tetapi komitmen beliau sangat dikenang sebagai seorang tokoh yang istiqamah dalam perjuangan Islam. Antara pesanan istiqamah beliau ialah “Biar aku mati dalam wadah yang memperjuangkan kalimah Allah, hidupku dan matiku adalah kerana Allah…”

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin – HARAKAHDAILY 10/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -