132,000 dapat kerja melalui inisiatif kerajaan

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kira-kira 132,000 orang mendapat pekerjaan melalui beberapa program inisiatif kerajaan yang memastikan peluang pekerjaan sedia ada dikawal selia serta terbuka kepada semua warga negara, termasuk anak muda.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata Program Jamin Kerja-Insentif Penggajian memberikan insentif kewangan kepada majikan yang membuat pengambilan baharu mulai 1 Januari lalu dalam kalangan perantis, graduan, golongan mudah terjejas termasuk Orang Kurang Upaya (OKU), bekas tentera, bekas banduan, warga emas serta penganggur.

- Advertisement -

Setakat 29 Julai lalu, katanya seramai 120,237 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini.

Sebagai kesinambungan kejayaan Program Perantisan tahun lalu, katanya program Jamin Kerja-Insentif Penggajian akan diteruskan dengan pemberian insentif RM900 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada majikan yang menggajikan golongan perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun dalam jawatan eksekutif.

“Golongan perantis perlu ditawarkan kontrak enam bulan dengan bayaran gaji pemula minimum berjumlah RM1,500. Berdasarkan statistik, jumlah pekerja yang mendapat manfaat daripada Program Perantisan Jamin Kerja-Insentif Penggajian setakat 29 Julai lalu adalah seramai 5,932 orang,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan perancangan kerajaan bagi memastikan peluang pekerjaan yang ada dikawal selia serta dibuka kepada anak muda di semua peringkat.

Awang berkata, kerajaan melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) menubuhkan Pusat Penempatan yang berperanan sebagai platform untuk memadankan pekerja dengan peluang pekerjaan yang tersedia.

Setakat 31 Julai lalu, katanya sebanyak 43,903 peluang pekerjaan tersedia melalui platform ini dengan lebih 6,000 pekerja berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti perkhidmatan, perkilangan, borong dan runcit.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 60 peratus (3,600 pekerja) adalah daripada golongan belia dan sebahagian besar mereka memperoleh gaji sebanyak RM2,000 dan ke atas.

Katanya, kerajaan juga melancarkan Inisiatif PENJANA HRDF dengan memperkenalkan lima skim yang terdiri daripada Penempatan dan Latihan, Pembangunan B40, Pembangunan SME, Revolusi Perindustrian 4.0 dan Gerak Insan Gemilang. – HARAKAHDAILY 10/8/22

- Advertisement -