WNBR: Status Tasik Chini tidak akan terlucut

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan yakin status Tasik Chini, Pahang sebagai sebahagian Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) tidak akan terlucut, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya telah mempersembahkan satu laporan kepada Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkaitan Tasik Chini.

- Advertisement -

Justeru, semua persiapan telah dilakukan dan laporan turut akan dibawa ke dalam mesyuarat peringkat kebangsaan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KeTSA yang dijangka akan berlangsung pada minggu ini.

“Kita yakin status Tasik Chini tidak dilucutkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Sebelum ini, Takiyuddin berkata sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan Tasik Chini termasuk kelulusan baharu untuk pengambilan pasir, mineral atau sebagainya telah dihentikan.

UNESCO telah memberi tempoh kepada Malaysia hingga 30 September ini untuk memaklumkan badan dunia itu mengenai perancangan bagi merawat dan memulihkan Tasik Chini serta tanah lembap di sekelilingnya supaya kembali sihat.

Sebelum ini, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menitahkan kerajaan Pahang untuk bertindak lebih agresif dalam memulihkan Tasik Chini di Pekan agar kegemilangannya dapat dikembalikan semula. – HARAKAHDAILY 9/8/2022

- Advertisement -