Ustaz Jalil Safwan Abdul Rahman: Tokoh PAS Selangor

- Advertisement -

PENGENALAN

Perkembangan PAS di Selangor telah bermula sejak 1952 apabila para pemimpin PAS dari Bagan Datoh, Perak mengadakan program-program penerangan PAS di kawasan Sabak Bernam dalam tahun tersebut, tetapi cawangan PAS yang pertama ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 13 Julai 1952. Sejak itu, PAS mulai berkembang di Selangor dan melahirkan tokoh-tokoh penggerak yang istiqamah. Di antara tokoh penting yang menggerakkan PAS Selangor ialah Ustaz Abdul Jalil Safwan bin Abdul Rahman, seorang guru agama dan juga pegawai pendidikan Islam Selangor. Ustaz Abdul Jalil Safwan telah bergiat aktif bersama PAS sejak 1955 dan berganding bahu dengan Prof Zulkifli Mohammad untuk meluaskan pengaruh PAS di negeri ini pada peringkat terawal.

Biodata ringkas Ustaz Abdul Jalil Safwan

Ustaz Abdul Jalil Safwan bin Abdul Rahman adalah abang kepada Ustaz Talha Abdul Rahman, bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Beliau dilahirkan di Kampung Sungai Kandis, Jalan Kebun, Kelang pada tahun 1926, iaitu ketika dunia sedang mengalami kemelesetan ekonomi. Namun begitu, kerana kesedaran orang tuanya, beliau dihantar belajar di Sekolah Melayu Sungai Kandis sehingga akhir 1936. Ketika ini, seorang tokoh ulamak terkemuka, Sheikh Tengku Mahmud Zuhdi Tengku Abdul Rahman, Sheikhul Islam Selangor telah membuka Madrasah Marta’ al-Ulum ad-Diiniyah di Kelang sejak 1933. Sebaik tamat belajar di Sekolah Melayu, beliau dihantar berguru dengan Sheikhul Islam ini pada 1937. Pembelajarannya terganggu akibat Perang Dunia Kedua, tetapi beliau terus belajar di madrasah tersebut sehingga tamat Perang Dunia Kedua pada 1945.

Dengan latar belakang pengajian Islam yang baik, termasuk menjadi murid seorang ulamak besar, Ustaz Abdul Jalil Safwan telah mula mengajar di sekolah agama rakyat di Kelang, sebelum dilantik sebagai Guru Besar Madrasah Manba’ al-Ulum, Sungai Tengi, Kuala Selangor yang baru ditubuhkan pada 1950 itu. Setelah beberapa tahun mentadbir sekolah ini, Ustaz Abdul Jalil Safwan telah diserapkan sebagai Pegawai Agama di JAIS ketika Tuan Haji Pateh Akhir memimpin jabatan ini. Dengan pengalamannya sebagai bekas guru besar, beliau dilantik sebagai Nazir Sekolah Agama Selangor, satu jawatan penting yang disandangnya sehingga 1974. Jawatan ini telah meletakkan beliau sebagai pentadbir pendidikan Islam yang berpengaruh di Selangor, khususnya untuk mengawal sekolah-sekolah agama yang wujud di seluruh negeri ini.

Di atas kedudukannya ini juga, dalam satu perjumpaan guru-guru agama seluruh Selangor pada pertengahan 1950-an, mereka telah mengasaskan Persatuan Guru-guru Agama Islam Selangor (PEGUAM) dan melantik Ustaz Abdul Jalil Safwan sebagai Yang Dipertua Pengasas persatuan ini. PEGUAM menjadi cepat terkenal ketika itu kerana mereka turut menyertai Persatuan Guru-guru Agama Rakyat Perak (PGMR) yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh dan Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad dalam menuntut kepada kerajaan supaya sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) diberikan bantuan geran perkapita. Sebuah Jawatankuasa Mengkaji Bantuan Kepada SAR telah ditubuhkan oleh kerajaan ketika ini hasil desakan wakil tunggal PAS di Dewan Undangan Persekutuan, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein. Kejayaan tuntutan ini telah memberi nafas baru kepada persatuan guru-guru agama.

Bertolak dari situ juga, Ustaz Abdul Jalil Safwan telah mengatur satu pertemuan persatuan guru-guru agama seluruh Malaya pada 14 Januari 1968 untuk membincangkan isu-isu bersama berkaitan kepentingan SAR ini. Dalam pertemuan ini, semua persatuan guru-guru agama negeri telah bersepakat untuk menubuhkan Gabungan Persatuan Guru-guru Agama Malaya dan melantik Ustaz Abdul Jalil Safwan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sementara, iaitu penaja gabungan tersebut. Namun begitu, cadangan ini menghadapi kesulitan untuk diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) kerana masih ada anggotanya yang belum berdaftar di bawah Akta Pertubuhan yang baru diwujudkan pada 1966 itu. Sebelum sempat gabungan ini berdaftar, Ustaz Abdul Jalil Safwan telah berhijrah ke Dato’ Keramat, Kuala Lumpur kerana dilantik sebagai Pegawai Agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 1974, iaitu setelah kewujudan Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974.

Di JAWI, Ustaz Abdul Jalil Safwan juga dilantik sebagai Nazir Sekolah Agama Wilayah Persekutuan. Tugas utama beliau ialah untuk menyusun usaha bagi mengambil alih pentadbiran sekolah-sekolah agama di Kuala Lumpur untuk ditadbir oleh JAWI. Beliau turut menganggotai Jawatankuasa Pengambilalihan Sekolah Agama Wilayah Persekutuan ketika itu. Serentak dengan itu juga, ekoran penyertaan PAS dalam kerajaan sejak 1973, beliau telah dicalonkan oleh PAS untuk menjadi Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bersama Ustaz Hassan Shukri, satu jawatan yang dipegang sejak 1974 hingga akhir 1977. Beliau juga turut aktif dalam Jam’iyatul Dakwah Islamiyah Selangor sejak 1965, kemudian menjadi salah seorang pemimpin utama badan ini ketika ia dikenali sebagai Jam’iyatul Dakwah Islamiyah Selangor dan Wilayah Persekutuan pada 1974 dengan dipimpin oleh Tun Syed Nasir.

Menggerakkan PAS Selangor dan Wilayah Persekutuan

Ketika politik kepartian sedang berkembang selepas Perang Dunia Kedua, Ustaz Abdul Jalil Safwan tidak terpikat dengan Umno yang disertai oleh Tuan Haji Pateh Akhir, ketuanya di JAIS. Sebaliknya, beliau lebih cenderung kepada perjuangan PAS yang muncul di Selangor sejak 1952. Pada saat Prof Zulkifli Mohammad, Setiausaha Kolej Islam Malaya (KIM) bergiat di Kelang dan menyertai PAS pada 1955, Ustaz Abdul Jalil Safwan turut menyertai PAS. Beliau aktif meluaskan pengaruh PAS di kawasan Kelang dan Kuala Selangor, di atas kedudukannya sebagai bekas guru besar dan Nazir Sekolah Agama. Di atas usahanya untuk mengembangkan PAS itu, PAS telah bersetuju meletakkan Prof Zulkifli sebagai calon di Selangor Tengah dalam Pilihan Raya Umum 1955.

Setelah Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, sasaran PAS adalah untuk meluaskan pengaruh di kawasan-kawasan Melayu di Selangor, kerana ketika itu pergerakan PAS boleh dikatakan tertumpu di Kuala Lumpur. Untuk itu, Ustaz Abdul Jalil Safwan telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS selama tiga sesi di antara 1956 hingga 1959. Antara usaha penting Ustaz Abdul Jalil Safwan ialah meluaskan pengaruh PAS di kalangan guru-guru SAR di Selangor, kerana beliau sangat dihormati sebagai Yang Dipertua PEGUAM dan kejayaan beliau menuntut bantuan perkapita untuk SAR. Boleh dikatakan perkembangan PAS Selangor dari kawasan Sabak Bernam hingga ke Sepang sepanjang dekad 1950-an dan 1960-an ini diwujud dan digerakkan oleh guru-guru SAR dan guru-guru pondok, selain para guru-guru agama.

Kedudukan Ustaz Abdul Jalil Safwan selaku Nazir Sekolah Agama Selangor telah menyulitkan beliau untuk memegang jawatan penting PAS sepanjang dekad 1960-an, tetapi peranan beliau sebagai penggerak adalah sangat besar. Selain cawangan-cawangan PAS di kawasan Kuala Lumpur, PAS Selangor turut berjaya mewujudkan cawangannya di Bagan Nakhoda Omar, Ayer Tawar, Sungai Besar. Tanjung Karang, Jeram, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Sungai Tawar, Sungai Leman, Batu 9 Cheras, Sijangkang, Kuang, Kanchong Darat, Sungai Kandis, Kampung Jawa Klang, Meru dan Beranang. PAS Ranting Sungai Kandis telah berjaya ditubuhkan dengan usaha beliau, walaupun namanya tidak tercatat sebagai pemimpin utama PAS Selangor ketika itu. Kedudukan Ustaz Abdul Jalil Safwan menjadi lebih penting apabila PAS menyertai kerajaan pada 1973, dan beliau mula bergerak di barisan hadapan kerana tidak lagi menjadi kakitangan Kerajaan Selangor sejak 1974.

Perkhidmatan beliau dengan JAWI pada 1974 sebenarnya dirancang oleh PAS bagi membolehkan beliau menjadi penggerakan PAS Wilayah Persekutuan pula. Pada 1973, Ustaz Abdul Jalil Safwan telah dilantik semula sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, dan kemudiannya beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan yang pertama pada 17 April 1974. Sejak menjadi pesuruhjaya itu, beliau cergas menggerakkan penubuhan PAS di Kuala Lumpur khususnya di Bukit Bintang, Bangsar, Segambut, Sungai Besi dan Setapak, sehingga akhirnya PAS Wilayah Persekutuan dapat berdiri teguh. Beliau memegang jawatan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan sehingga 1977, kemudian dilantik semula sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk sesi 1979-1981. Selepas itu, beliau tidak dapat bergerak aktif lagi kerana keadaan dirinya yang uzur.

Walau tidak berjawatan lagi dalam parti, Ustaz Abdul Jalil Safwan masih meneruskan kerja-kerja dakwahnya di surau-surau di Kuala Lumpur, di samping terus membantu PAS Wilayah Persekutuan meluaskan pengaruhnya di ibu kota itu. Dalam tempoh ini, walaupun PAS berhadapan dengan krisis kepemimpinan akibat perletakkan jawatan Dato’ Mohd Asri Haji Muda sebagai Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Abdul Jalil Safwan terus kekal bersama PAS, bahkan beliau mendukung kepemimpinan ulamak yang dibentuk ketika itu. Setelah beberapa tahun tidak aktif dalam politik, Ustaz Abdul Jalil Safwan telah meninggal dunia di rumahnya di Dato’ Keramat dalam tahun 1983. 

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin – HARAKAHDAILY 9/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -