RUU Antilompat Parti tidak libatkan Ahli Dewan Negara

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri berkata Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti tidak terpakai kepada Ahli Dewan Negara.

Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini setelah mempertimbangkan beberapa pandangan, antaranya seperti Ahli Dewan Negara dibahagikan kepada dua kategori, iaitu pertama, Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

- Advertisement -

Kedua, katanya Ahli Dewan Negara yang dipilih oleh negeri berdasarkan keahlian sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri yang mewakili parti politik masing-masing.

“Peruntukan larangan bertukar parti pada peringkat ini tidak terpakai ke atas Ahli Dewan Negara mengambil kira beberapa aspek penting isu perundangan ini di peringkat negeri, selain memerlukan perundingan dan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti di Dewan Negara, hari ini.

RUU ini akan dibahaskan Ahli Dewan Negara sebelum digulung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang dijangka pada jam 3 petang ini.

Di Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu, RUU ini diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga dan kini menanti kelulusan Dewan Negara sebelum proses pewartaan undang-undang dapat dikuatkuasakan.

Perdana Menteri berkata, Ahli Dewan Negara dan semua pihak yang berkepentingan sewajarnya dirundingi terlebih dahulu sebelum isu pemakaian undang-undang mengenai larangan bertukar parti ke atas Ahli Dewan Negara diputuskan.

Selain itu, katanya sokongan Ahli Dewan Rakyat kepada mana-mana parti politik atau gabungan parti politik boleh memberi implikasi kepada perubahan kerajaan dan kestabilan politik.

“Oleh itu adalah lebih wajar undang-undang mengenai larangan bertukar parti hanya terpakai ke atas Ahli Dewan Rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/22

- Advertisement -