Peruntukan adil mampu kurangkan lompat parti

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Peruntukan sama banyak kepada Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa mengira latar belakang politik boleh mengurangkan amalan lompat parti.

Senator Ir Khairil Nizam Khirudin, berkata peruntukan itu juga dicadang supaya diuruskan sendiri secara autonomi oleh institusi Parlimen.

Advertisement

“Kenapa Dewan Yang Mulia ini tidak boleh mencadangkan kepada kerajaan untuk memberi peruntukan sama banyak dan adil kepada Ahli Yang Berhormat Dewan Negara dan Dewan Rakyat tanpa mengira latar belakang politik mereka?

“Peruntukan ini bukanlah ditentukan atau diurus melalui Pejabat Perdana Menteri, tetapi ia diuruskan sendiri secara autonomi oleh institusi Parlimen.

“Maka dengan itu kita dapat mengurangkan kemungkinan untuk Ahli Parlimen lompat parti,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 di Dewan Negara, hari ini.

Khairil Nizam juga mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan proses penapisan ke atas calon yang berpotensi untuk lompat parti.

Sebagai contoh, katanya bagi Ahli Parlimen yang mempunyai rekod aktif lompat parti, mereka perlu diwajibkan menghadiri sesi temuduga untuk menyatakan jaminan tidak akan mengkhianati mandat serta duit rakyat untuk sesi pilihan raya itu.

Beliau turut mencadangkan supaya diwujudkan pendidikan politik kepada rakyat untuk menghilangkan normalisasi budaya lompat parti kepada generasi akan datang.

“Contohnya, kita cadangkan tentang pelaku rasuah supaya mereka yang terbukti melakukan rasuah ini diceritakan tentang kesalahan mereka dalam buku sejarah.

“Kenapa tidak diceritakan juga mereka yang tidak berintegriti, khianat ini dalam sistem pendidikan sekolah? Supaya dikenali anak-anak kita yang akan menjadi Ahli Parlimen pada masa depan, dan tidak mengulangi perkara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2022