Permintaan penilaian SHASSIC tapak binaan meningkat

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Permintaan bagi Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC) untuk menjalankan penilaian tahap prestasi tapak binaan mencatatkan peningkatan sejak diperkenalkan pada 2008.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, berkata sebanyak 352 projek telah dinilai pada 2019 berbanding pada 2016, iaitu hanya 112 projek.

- Advertisement -

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 214 peratus dan sehingga kini Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah menilai sebanyak 1,414 projek.

“Sementara itu, sebanyak 58 projek telah dianugerahkan lima bintang pada 2019 berbanding 48 projek pada 2016, ini adalah peningkatan sebanyak 21 peratus,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Nuridah Mohd Salleh yang meminta kerajaan menyatakan kadar keberkesanan SHASSIC dalam menyelesaikan isu keselamatan di tapak binaan.

Senator Nuridah Mohd Salleh

Fadillah berkata, sehingga Disember tahun lalu, sebayak 348 projek telah mendapat penilaian lima bintang, manakala projek yang mendapat penilaian satu bintang menurun.

Tahun lalu, katanya hanya satu projek yang mendapat penilaian satu bintang daripada 62 projek yang dinilai CIDB.

“Ini menunjukkan kadar keberkesanan penilaian SHASSIC dalam membantu pengurusan sistem keselamatan dan kesihatan tapak bina adalah sangat berkesan,” katanya.

Sementara itu bagi menggalakkan pemain industri melaksanakan penilaian SHASSIC, katanya CIDB menanggung sepenuhnya yuran sebanyak RM1,150 bagi setiap penilaian kepada syarikat yang memohon.

Katanya, bermula 2011 sehingga tahun lalu, CIDB menanggung sebanyak RM3.796 juta kos penilaian SHASSIC di bawah program Kementerian Kerja Raya.

“CIDB juga memberikan subsidi 50 peratus bagi program latihan pegawai keselamatan di tapak bina dan pegawai keselamatan dan kesihatan di tapak bina.

“Pemberian subsidi itu menanggung perbelanjaan sebanyak RM1,425 untuk setiap orang dan jumlah yang kita biayai setakat ini adalah RM9.41 juta,” katanya.

Tambahnya, melalui program penilaian kemampuan dan keupayaan kontraktor (SKOR) pula, pegawai akan dibantu untuk membuat penilaian SHASSIC selain melayakkan kontraktor menyertai tender kerajaan. – HARAKAHDAILY 9/8/2022

- Advertisement -