Perketatkan syarat bertanding dalam pilihan raya

Senator Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Senator Dato’ Ahmad Yahaya, mencadangkan peraturan pilihan raya menggariskan syarat kelayakan lebih ketat untuk seseorang bertanding atas tiket mana-mana parti politik.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, ketika ini terdapat beberapa syarat yang mengikat kepada kelayakan seseorang untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen.

- Advertisement -

Katanya, ini termasuk seseorang hilang kelayakan menjadi calon jika disabitkan kesalahan dengan hukuman penjara satu tahun ke atas serta denda melebihi RM2,000 atau seseorang itu telah mengisytiharkan kesetiaan kepada negara lain.

“Saya berpandangan syarat itu masih longgar. Syarat yang wajar diberikan perhatian ialah pertama, seseorang yang pernah mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian negara serta mempertikaikan hak keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan juga tidak boleh diberikan kebenaran dan hak bertanding dalam pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 di Dewan Negara, hari ini.

Ahmad berkata, mereka yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah kerana salah laku rasuah juga tidak wajar diberi peluang bertanding kerana dikhuatiri akan menggunakan kedudukan mereka untuk mengelakkan dikenakan tindakan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kes melibat rasuah dan salah laku pimpinan parti politik disegerakan perbicaraan di mahkamah supaya proses pembersihan pemimpin politik dapat dilakukan secara efektif.

“Pindaan ini (Perlembagaan), saya lihat juga menyentuh sebahagian kecil daripada reformasi pilihan raya. Sudah sampai masa, peraturan pilihan raya juga dibersihkan daripada unsur-unsur yang boleh menggugat keyakinan rakyat.

“Saya ingin menegaskan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian bersama sebagai satu langkah ke hadapan pasca pindaan ini,” katanya.

Beliau berkata, sudah sampai masa kerajaan mengambil langkah proaktif untuk membentangkan penggubalan Akta Pendanaan Politik bagi membanteras politik wang yang berleluasa.

Katanya, perkara ini harus dilaksanakan secara seiiring supaya ketelusan demokrasi dan pilihan raya yang dihasratkan selama ini dapat dicapai sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang. – HARAKAHDAILY 9/8/22.

- Advertisement -