Ops ATM pastikan barang kawalan mencukupi

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sejak 23 Jun lalu melaksanakan Ops ATM membabitkan barang kawalan seperti ayam, telur dan minyak masak secara harian di setiap peringkat rantaian pembekalan dan pengedaran.

Timbalan Menterinya, Dato’ Rosol Wahid, berkata operasi itu bertujuan memastikan bekalan adalah stabil dan tiada isu berkaitan kegiatan sorok barang kawalan serta keperluan harian di pasaran selaras dengan Kempen Anti Sorok yang dilancarkan awal tahun ini.

- Advertisement -

Katanya, Ops ATM juga bertujuan memastikan harga yang dijual bermula 1 Julai lalu tidak terlalu tinggi sehingga menyebabkan kegusaran kepada masyarakat dan bagi mengekang peniaga yang tidak beretika daripada mengambil keuntungan secara tidak munasabah.

“Kementerian juga melaksanakan beberapa inisiatif untuk menangani kegiatan sorok seperti pemeriksaan dan pengauditan di setiap peringkat rantaian pengedaran minyak masak melalui aktiviti semakan Rancangan Pra Penghantaran,” katanya ketika menjawab soalan Senator Balasubramaniam a/l Nachiappan di Dewan Negara, hari ini.

Balasubramaniam yang juga Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat, ketika Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan bertanyakan usaha kementerian bagi menangani barang kawalan yang disorok seperti minyak paket bersubsidi dan beberapa barangan kawalan lain.

Rosol berkata, kementerian juga menjalankan pemeriksaan pematuhan permit ke atas peniaga kecil dan pengusaha restoran serta membuat risikan ke atas pengilang, pembungkus, pemborong dan peruncit dengan sasaran terpilih yang disyaki menyeleweng minyak masak bersubsidi.

Selain itu, katanya kementerian menetapkan had pembelian minyak masak polibeg sebanyak tiga paket untuk memastikan lebih ramai pengguna isi rumah dapat menikmati subsidi yang diberikan oleh kerajaan.

Katanya, kerjasama juga dipertingkatkan dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

“Kementerian juga mengadakan publisiti yang meluas melalui media arus perdana dan media sosial bagi mempertingkatkan kesedaran serta mewujudkan kegerunan di kalangan peniaga dan melaksanakan Ops Samar bagi membuat uji beli serta mengenal pasti jika terdapat elemen sorok oleh peniaga terbabit,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/22