Kumpulan pertama pekerja Bangladesh tiba di Malaysia

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Malaysia menerima kemasukan kumpulan pertama pekerja warga Bangladesh hari ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan.

Beliau berkata kemasukan itu susulan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Penggajian Pekerja Warga Bangladesh yang ditandatangani Malaysia dan Bangladesh pada 19 Dis lepas.

- Advertisement -

Menurutnya MoU yang berkuat kuasa selama lima tahun sehingga Disember 2026 itu ditandatangani beliau yang mewakili Malaysia dan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Imran Ahmed di ibu negara.

“Kumpulan pekerja ini akan digajikan untuk sektor pembuatan dan pekerja warga Bangladesh berkenaan akan masuk ke Malaysia secara berperingkat mulai hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Suruhanjaya Tinggi Bangladesh pada minggu lepas telah mengesahkan permohonan daripada 80 majikan tempatan melibatkan penggajian seramai 6,000 warga Bangladesh.

Katanya majikan yang telah membuat bayaran levi kepada Jabatan Imigresen dan bercadang menggajikan pekerja warga Bangladesh boleh memohon pengesahan penggajian serta dokumentasi seperti kontrak pekerjaan dan pesanan kerja ke Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia. – BERNAMA

- Advertisement -