Kena buli: Jangan sabar?

- Advertisement -

ANAK saya selalu mengadu kena buli di asrama. Kena ketuk kepala, kena sepak kaki, kena suruh buat macam-macam. Masa tidur kena simbah air.

“Kawan-kawan dia suka mengata dia, pondan, lembik macam-macam lagi. Saya selalu pesan kat dia, sabar. Baru-baru ni bila kena buli lagi, dia hilang sabar. Dia tumbuk kawan dia tu. Kawan dia mengadu kat mak bapak dia, depa report polis.”

Ini satu contoh kisah buli. Kenapa jangan sesekali menasihatkan sabar kepada mangsa buli, kerana kesannya selepas itu boleh jadi lebih teruk dan berbahaya kepada dia.

Apa-apa sahaja nasihat mesti ke arah menghentikan buli. Sekali buli, tak kena apa-apa tindakan atau hukuman biasanya akan membawa kepada episod buli kali yang seterusnya.

Kesian yang jadi mangsa. Tak tahu bila akan berakhir. Simpan rasa sedih dan sakit dalam hati, nak lawan takut kena lagi teruk. Rasa rendah diri. Bangun tidur nak teruskan hidup sehari-hari pun tak semangat, sedih dan risau bersilih ganti.

Mangsa buli apabila dia berani mencari tempat meluah, di situ permulaan untuk dia keluar dari penderitaan. Maka pentingnya nasihat yang betul supaya membawa kepada pertolongan yang betul.

Kes buli boleh membawa kepada kesan yang lebih serius seperti menyebabkan kematian. Kes Zulfarhan, Nhaveen adalah contoh kisah buli yang berakhir dengan tuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Yang ‘tak sampai mati’, ada yang menyembunyikan kecederaan lahir dan emosi. Kesannya jangka masa panjang, bukan hanya setahun dua. Parut di jiwa mungkin hanya mampu hilang bila memori otak hilang.

Lebih kurang 85 peratus dari mangsa buli menderita kesan psikologi jangka panjang dan mengalami penyakit berkaitan dengan tekanan dalam kehidupan di masa akan datang. (myhealth.gov.my)

Jadi nak buat apa?

Pertama sekali, tak perlu buli balik. Don’t take the law into your own hands. Risiko besar jika balas dendam di luar undang-undang. Silap hari bulan mangsa pula disabit dengan kesalahan jenayah.

Walaupun anda boleh bela diri, tapi bela diri disyaratkan mesti sepadan atau proportionate. Takut terlajak, dah tak dikira membela diri. 

Jadi, sebaik dan sepatutnya, buatlah laporan kepada semua pihak yang ada autoriti. Jika di sekolah, lapor pada cikgu disiplin, cikgu kaunselor, cikgu kelas dan siapa-siapa sahaja yang anda rasa boleh melakukan sesuatu.

Ha, cikgu-cikgu jangan berani-berani buat tak tahu ok. Mangsa buli boleh failkan saman, dan cikgu-cikgu berkenaan termasuk Pengetua boleh dinamakan sebagai pihak defendan ya.

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pernah memerintahkan sembilan pihak termasuk lima bekas pelajar sebuah sekolah berasrama penuh membayar tuntutan RM616,634.20 kepada seorang bekas pelajar yang menjadi mangsa buli, empat tahun lalu.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/09/612224/kes-buli-pelajar-9-diperintah-bayar-rm61663420 )

https://www.sinarharian.com.my/article/49853/berita/mahkamah/penolong-kanan-bekas-pengetua-kena-bayar-tuntutan-kepada-mangsa-buli )

Selain itu, jika buli mengakibatkan kecederaan walaupun sekadar lebam 1 cm, lalu mangsa buat laporan polis, pembuli boleh didakwa bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Seksyen ini memperuntukkan siapa yang menyebabkan kecederaan dengan sengaja boleh dipenjara sehingga setahun atau didenda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Melawan kezaliman hatta atas diri sendiri kan satu tuntutan dalam Islam. Menghentikan kezaliman pembuli, dan menyelamatkan mangsa dari terus dibuli satu amalan yang baik, mulia dan insya-Allah berpahala.

Kan ada Hadis Nabi S.A.W menasihatkan kita supaya membantu orang yang zalim dan dizalimi. Membantu yang zalim itu dengan cara hentikan kezalimannya.

Jadi janganlah minta mangsa asyik pasrah saja. Atau lebih parah buat tak tahu, “nampak dia ok je tersenyum manis”. Ok lah – dah dia takkan nak pura-pura mati. 

Oh ya, yang paling utama, ajar anak-anak dan keluarga dan kawan-kawan kita nilai (value) yang tinggi dalam hidup, jaga tangan dan lidah, jangan menyakiti manusia lain terutama insan sekeliling dan yang dekat dengan kita. Jadilah ihsan dan manusiawi. Hanya dengan ini anda layak digelar manusia.

MARDHIYYAH JOHARI
Timbalan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia
Pengamal Undang-undang – HARAKAHDAILY 9/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -