Kementerian Pendidikan perkukuhkan Pentaksiran Bilik Darjah

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 diperkukuhkan mulai tahun ini dengan menambah baik pengurusan ujian akhir sesi akademik melalui penyediaan soalan yang setara standardnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

PBD adalah antara komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkasakan berikutan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

- Advertisement -

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata soalan tersebut disediakan oleh guru pakar dalam pembinaan item dan disimpan dalam sistem bank soalan yang dibangunkan oleh KPM.

Menurutnya, untuk tujuan pelaksanaan ujian akhir sesi akademik, pihak sekolah akan menjana set soalan daripada sistem tersebut dan ditadbir di sekolah seperti mana ujian akhir tahun sebelum ini.

“Panduan penskoran juga akan disediakan untuk kemudahan guru. Penambahbaikan kepada ujian akhir sesi akademik ini adalah bagi membolehkan guru dan ibu bapa bersama-sama membantu membangunkan potensi murid bermula daripada peringkat sekolah rendah.

“Dalam mencapai hasrat ini, pelaporan ujian akhir sesi akademik akan digunakan untuk membolehkan intervensi awal dilakukan bagi mengoptimumkan potensi murid. Pelaporan ini bukan untuk tujuan perbandingan pencapaian antara murid atau sekolah,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan apakah sekolah dan guru sudah bersedia dalam pedagogi pengajaran, pengurusan dan penilaian murid-murid setelah peperiksaan PT3 dihapuskan.

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff

Dr Mohd Radzi berkata, KPM juga akan menambah baik dan memantapkan kaedah pelaporan PBD dan melalui kaedah ini, pencapaian murid dilaporkan secara menyeluruh sebanyak dua kali setahun, iaitu pada pertengahan dan akhir sesi akademik.

Katanya, ini dilakukan dengan menggunakan deskriptor tahap penguasaan yang komprehensif dan jelas dengan pelaporan ini juga menilai tahap usaha murid dalam pembelajaran.

Selain itu, katanya guru kelas dan guru mata pelajaran akan memberi ulasan dan cadangan intervensi bagi mengoptimumkan potensi murid, selain laporan akhir sesi akademik akan turut disertakan dengan pelaporan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

“Secara keseluruhan, penambahbaikan pelaporan PBS dapat memberi gambaran mengenai kemenjadian murid secara menyeluruh, komprehensif dan bermakna. Pemerkasaan PBS merupakan antara pendekatan KPM untuk beralih daripada pembelajaran berorientasi peperiksaan kepada pembelajaran yang lebih menyeronokkan untuk murid,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/22

- Advertisement -