Keburukan vape terbongkar satu persatu

- Advertisement -

MULA terserlah satu demi satu keburukan akibat vape. Statistik dari seluruh dunia telah pun mencatatkan kenaikan kesan-kesan buruk akibat vape.

Perubatan John Hopkins melaporkan bahawa kesan buruk kepada paru-paru akibat vape (EVALI) pada Februari 2020 sebanyak 2,807 kes. 

Menakutkan lagi, 68 kematian telah pun direkodkan akibat EVALI tersebut. Bukan kes EVALI sahaja tetapi banyak lagi kesan-kesan buruk yang lain telah pun dicatatkan di seluruh dunia.

Satu tindakan yang salah walaupun ramai yang beranggapan bahawa vape itu lebih selamat berbanding dengan rokok, jadi dari terus merokok, baik ambil vape? 

Tindakan yang demikian adalah tidak bijak sebab vape masih lagi tidak selamat walaupun dari segi peratusnya adalah kurang teruk dari rokok. 

Namun ia boleh mendatangkan pelbagai kemungkinan bahaya kerana tidak ada satu piawaian yang tetap di dalam cecair vape tersebut. 

Adalah lebih baik menggunakan konsep rawatan berhenti merokok yang telah pun lama terdapat di klinik-klinik kesihatan. 

Pelbagai kaedah boleh digunakan sama ada menggunakan kaedah kunyah ataupun tampal ataupun ubat telan. Atas diri perokok tersebutlah untuk mahu ataupun tidak tampil ke klinik.

Yang lebih membimbangkan lagi apabila fenomena vape ini telah berleluasa golongan yang tidak pernah merokok akan cuba menggunakan vape. Mereka mula ketagih dengan nikotin yang terdapat di dalam vape tersebut. 

Justeru, terlalu amat penting fenomena ini dikekang segera di dalam masyarakat supaya tidak menjadi satu barah yang akhirnya amat susah bagi kita untuk membanteras kemudian hari nanti.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 9/8/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -