Harimau Malaya hanya gah di stadium

- Advertisement -

PENYOKONG-penyokong pasukan bola sepak negara sudah tentu mahu melihat pasukan Harimau Malaya bangkit garang menundukkan pasukan-pasukan lawan. Dengan bersemangat mereka membanjiri stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan negara. Mereka dengan bangganya menggelarkan diri mereka sebagai ‘Ekor Harimau’, satu nama yang cukup sesuai memandangkan harimau merupakan simbol keberanian. Walau bagaimanapun ramai yang tidak sedar spesies haiwan itu berada di dalam keadaan tenat.

Hari ini terdapat hanya kurang dari 200 ekor Harimau Malaya (Panthera Tigris Jacksoni) di negara kita. Haiwan ini adalah salah satu subspesies harimau belang yang masih tinggal di dunia dan ia hanya boleh dijumpai di Semenanjung Malaysia. Sebelum ini terdapat 9 subspesies harimau belang tetapi 3 spesies telah disahkan pupus. 200 ekor harimau bukan satu bilangan yang banyak. Seorang Menteri Persekutuan pernah menjangkakan Harimau Malaya ini boleh pupus dalam masa 10 tahun.

Bilangan harimau di dunia juga sedikit kerana hanya terdapat 3,900 ekor yang tinggal. World Wildlife Fund (WWF) melaporkan terdapat lebih 3,000 ekor di negara kita pada tahun-tahun 50an. Populasi semakin menurun sehingga pada permulaan abad ini dianggarkan hanya terdapat 500 ekor. Kehilangan habitat, pemburuan haram, perdagangan hidupan liar, kekurangan makanan dan aktiviti pertanian mengancam populasi haiwan ini. Sekiranya sesuatu tidak dilakukan bilangan haiwan akan terus menurun dan pupus terus seperti yang diramalkan oleh Menteri itu.

Sebenarnya bukan sahaja Harimau Malaya yang menghadapi kepupusan. Di antara haiwan-haiwan yang mengalami nasib yang sama seperti haiwan yang menjadi simbol kebanggaan negara kita adalah Seladang (Bos Gaurus) yang hanya tinggal sekitar 600 hingga 800 dan Gajah Pygmy Borneo (Elephas Maximus Borneensis) hanya tinggal sekitar 2,000 ekor yang tinggal di Sabah. Haiwan-haiwan lain termasuk Burung Botak Upeh (Mycteria Cinerea), Orang Utan (Pongo Pygmaeus), Kancil (Tragulus Kanchil), Ungka Tangan Putih (Hylobates Lar), Penyu (Testudines), Kambing Gurun (Capricornis Sumatraensis) dan Tapir Malaya atau Tenuk Malaysia (Tapirus Indicus).

Tetapi kenapa kita perlu bimbang dengan kepupusan spesies-spesies tersebut? Adakah kehilangan spesies-spesies ini akan memberikan kesan kepada kehidupan seharian kita? Kita berada di dalam dunia materialistik di mana manusia hari ini menilai kepentingan sesuatu perkara berdasarkan pulangan kewangan yang dapat diperolehi. Jika kesemua Harimau Malaya, Orang Utan atau Gajah Pygmy Borneo hilang dari bumi Malaysia, adakah ini akan memberi kesan kepada ekonomi negara? Mungkin kita akan kehilangan sebilangan pelancong-pelancong dari luar negara yang datang untuk menikmati keindahan alam semulajadi dan haiwan-haiwan seperti Orang Utan. Tetapi adakah ini akan membuat rakyat negara ini jatuh miskin?

Walaupun rakyat Malaysia tidak akan jatuh miskin akibat kepupusan spesies-spesies tersebut, tidakkah kita rasa kehilangan dengan kepupusan yang berlaku? Bayangkan ‘Ekor Harimau’ menyanyi dan menari memberi sokongan kepada pasukan Harimau Malaya tetapi tidak ada lagi Harimau Malaya di hutan belantara. Hanya di zoo dan di taman safari sahaja. Atau anak-anak kita belajar mengenai kebijaksanaan Sang Kancil menipu buaya tetapi pada hakikatnya tidak ada Sang Kancil yang hidup liar. Walau bagaimanapun isunya bukan nostalgia tetapi lebih dari itu.

Kepupusan spesies bukan hanya melibatkan spesies-spesies yang disebut tetapi juga spesies-spesies lain. Menurut Laporan Penilaian Global IPBES (Intergovernmental Science-Policy Platform on Biodiversity and Ecosystem) dalam tahun 2019, sekitar satu juta spesies haiwan dan tumbuhan diancam kepupusan. Tidak pernah di dalam sejarah dunia, sebanyak itu yang terancam. Kepupusan spesies memang berlaku sebelum ini tetapi secara semulajadi. Hari ini ia berlaku akibat tindakan manusia yang mempercepatkan proses tersebut.

Haiwan dan tumbuhan tidak boleh wujud bersendirian. Mereka perlu berinteraksi dengan organisma-organisma lain serta persekitaran mereka untuk hidup. Jika satu spesies haiwan atau tumbuhan pupus dari ekosistem ia akan memberi kesan kepada organisma yang berinteraksi dengannya. Kepupusan spesies haiwan atau tumbuhan akan mengubah ekosistem dengan drastik.

Menurut US Fish and Wildlife Service, kehilangan satu spesies tumbuhan boleh mengakibatkan kehilangan 30 spesies serangga, tumbuhan dan haiwan lain yang berada pada kedudukan yang lebih tinggi di dalam rantaian makanan (food chain). Ini bermakna sebarang kejadian atau perubahan di alam semulajadi ini adalah berkait-kait. Ia tidak akan berlaku terpisah dari persekitaran atau kehidupan lain. Pasti akan terdapat kesan. 

Begitu juga dengan kehilangan haiwan seperti Harimau Malaya yang sudah tentu memberi kesan kepada manusia. Kehilangan habitat semulajadi haiwan ini yang mengakibatkan kepupusan juga merupakan satu indikator kepada keprihatinan kita terhadap alam sekitar. Begitu juga dengan kepupusan spesies-spesies lain yang juga merupakan satu isyarat bahawa kita telah gagal di dalam tugas kita untuk mentadbir alam ini dengan baik tetapi telah melakukan kerosakan-kerosakan. Kita hanya terkejut melihat hasil-hasil dari perbuatan tangan-tangan kita, kadang-kala tanpa merasa insaf.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 9/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -