Cubaan tanam budaya asing: Oktoberfest tak hormat Melayu

Pesta arak Oktoberfest 2022 merupakan percubaan mutakhir agar budaya asing diraikan di Malaysia pada tahun ini selepas Bon Odori. (FOTO Reader Digest)
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Pesta arak Oktoberfest 2022 wajar ditentang dan diharamkan daripada dianjurkan di negara ini kerana ia jelas satu budaya asing yang melanggar hukum syariat Islam, serta bercanggah dan tidak menghormati budaya bangsa orang Melayu secara amnya, malah tidak mempunyai sebarang kaitan langsung dengan rakyat Malaysia.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz), Ahmad Syakir Norazli, mempersoalkan apakah relevannya rakyat Malaysia meraikan sambutan bangsa lain yang tidak ada langsung kaitannya dengan rakyat Malaysia, malah ia juga menyalahi syarak dan hukum hakam agama Islam yang merupakan bangsa dan agama majoriti di Malaysia.

- Advertisement -

Menurut beliau, saban hari rakyat Malaysia seperti cuba ditanam untuk menumpang sambutan dan budaya budaya orang luar yang langsung tidak ada kaitan dengan sebarang masyarakat di negara ini seperti sebelum ini Bon Odori, dan kini Oktoberfest pula. 

“Apakah kita sudah kering dan ketandusan sebarang budaya asli kita yang lebih ada kaitan dengan masyarakat dan bangsa di negara ini hingga kita diajar terhegeh-hegeh menyambut budaya bangsa lain yang tiada kena mengena?” ujar beliau.

Katanya, isu pesta arak Oktoberfest merupakan larangan sambutan budaya asing yang juga melanggar syariat dan budaya masyarakat majoriti orang melayu di Malaysia yang cuba dihalang. 

“Di manakah rasa hormat dan hak masyarakat dan agama majoriti di Malaysia ini untuk diraikan? Apakah bangsa yang tidak ada kena-mengena dan wujud di Malaysia ini lebih berhak untuk diraikan dan membakul sampahkan masyarakat dan umat Islam di Malaysia?,” tegasnya kepada HarakahDaily.

Ahmad Syakir Norazli

Mengulas lanjut, Syakir berkata, alangkah malangnya, apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Idris  Ahmad dalam usahanya cuba melarang sambutan dan budaya yang asing sebegini diadakan di negara ini, tiba tiba muncul golongan aktivis dan beberapa pertubuhan yang cuba menyanggah usaha tersebut, kononnya atas alasan meraikan kepelbagaian budaya.

Oktoberfest merupakan satu pesta minum arak besar-besaran yang disambut secara tahunan bermula pada abad ke-19 di Eropah, khususnya di Munich, Bavaria, Jerman sejak tahun 1810 dan pada tahun ini bakal diadakan kembali di situ menjelang  jam 12 tengah hari, pada Sabtu, 17 September 2022, selepas tidak diadakan selama dua tahun, dari 2020 hingga 2021 akibat pandemik Covid-19.

Lokasi pesta arak Oktoberfest besar-besaran yang lain adalah di negara-negara bukan Islam seperti di Blumenau, Brazil; Cincinnati, Ohio, Amerika Syarikat; dan Denver, Colorado, juga di AS. – HARAKAHDAILY 9/8/2022

- Advertisement -