Selesaikan isu ladang durian ancam nyawa rakyat

Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mencari jalan penyelesaian untuk memastikan ladang tanaman durian sedia ada tidak mengancam keselamatan nyawa rakyat.

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, kejadian banjir dan kepala air melibatkan beberapa kampung di Baling, Kedah kini sudah menjadi isu negara, bukan lagi isu negeri.

- Advertisement -

Menurutnya, kerajaan negeri mungkin mempunyai justifikasi tersendiri atas permintaan Musang King yang tinggi untuk pasaran luar negara serta berpotensi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Namun, ‘nasi sudah menjadi bubur’ dan kerajaan perlu berbelanja untuk kos pemulihan mangsa-mangsa banjir dan pemulihan prasarana yang musnah.

“Oleh itu, adalah penting supaya kerajaan mempunyai kaedah untuk melaksanakan langkah intervensi bagi membendung situasi ini (banjir dan kepala air di Baling) dari berulang lagi,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022, di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Wan Martina sehubungan itu, turut meminta kerajaan menjelaskan langkah yang diambil untuk menambahbaik ladang sedia ada supaya kejadian bencana banjir dan kepala air melibatkan beberapa kampung di Mukim Kupang tidak berulang lagi di masa hadapan. 

“Isunya pokok-pokok ini sudah di tanam, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian bagaimana hendak memastikan ladang-ladang ini tidak mengancam nyawa rakyat. 

“Kerajaan perlu buat sesuatu dengan segera. Apakah terdapat cadangan supaya pokok-pokok spesis hutan di tanam di ladang-ladang antara pokok Musang King?” katanya.

Beliau juga berharap, RUU berkenaan disambut baik kerajaan negeri melalui pindaan enakmen kerajaan negeri masing-masing.

Tambah beliau, ia adalah supaya pengurusan hutan ini dapat dilaksanakan dengan tuntas demi pemeliharaan dan perlindungan hutan negara.

“Rakyat juga berharap melalui RUU ini, peningkatan kadar hukuman, penambah baikan dan pindaan jadual-jadual, pengurusan hutan, pemeliharaan hutan dan penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih baik dan tiada lagi kejadian pencerobohan hutan serta pengeluaran hasil hutan atau balak secara haram,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -