RUU Perhutanan bukti komitmen kerajaan tangani isu alam sekitar

Balasubramaniam Nachiappan
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan 2022 bakal memperkukuhkan lagi pengurusan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), sekali gus menunjukkan bukti komitment kerajaan yang tidak berbelah bahagi dalam menangani isu alam sekitar di negara ini.

Senator Balasubramaniam Nachiappan berkata, pindaan itu juga akan mengukuhkan penguatkuasaan hutan dalam membenteras pembalakan haram, meningkatkan kadar denda dan hukuman serta penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan. 

- Advertisement -

“Penting supaya kerajaan meningkatkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen dalam mengurus isu-isu berkaitan sosial, ekonomi dan alam sekitar sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.

“Begitu juga dalam bertindak mengambil tindakan pantas apabila menerima laporan atau aduan jika disyaki berlakunya pembalakan haram ataupun pembalakan diluar kebenaran yang diberikan,” katanya semasa membahaskan RUU Perhutanan 2022 di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Menurut Balasubramaniam, kejadian banjir di Malaysia khususnya banjir lumpur berpunca daripada aktiviti penggondolan hutan yang semakin berleluasa dan tidak terkawal. 

Katanya, kekerapan berlakunya bencana alam sejak kebelakangan ini bukan hanya kerana faktor semula jadi, tetapi juga berpunca daripada kerakusan dan sikap manusia.

Kerakusan itu katanya sehingga menyebabkan kemusnahan alam yang kekal selamanya serta menyebabkan kerugian dari segi kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Justeru, beliau amat menyokong RUU Perhutanan (Pindaan) 2022 dilaksanakan untuk melihat kerangka perundangan perhutanan negara bergerak seiring dengan perkembangan semasa mencakupi aspek pencegahan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran, menambah baik dan memperkasakan pengurusan kawasan-kawasan HSK serta pembangunan sektor perhutanan negara.

Sementara itu, beliau juga mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri Kelantan di atas tindakan segera pada April lalu yang membatalkan lesen pembalakan di kompartmen 99 dan 100.

Katanya, kedua-dua kompartment itu terletak bersebelahan kawasan tandak air yang digunakan penduduk bagi menjamin sumber air yang mencukupi untuk kegunaan penduduk di beberapa kampung.

“Walaupun lesen pembalakan telah diberikan, namun akibat daripada kesan pembalakan akan memberikan kesan kepada kawasan tadahan air yang akan menjejaskan keperluan air hampir 7,000 penduduk maka lesen tersebut telah dibatalkan.

“Ini adalah merupakan satu contoh yang perlu diikuti oleh kerajaan negeri yang lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -