Jangan robek perasaan, cetus amarah umat Islam

Riduan Mohamad Nor
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Penganjur Oktoberfest 2022 yang merancang untuk menganjurkan pesta arak antarabangsa itu di Malaysia pada tahun ini diberi amaran keras agar jangan merobek perasaan umat Islam sehingga menimbulkan kemarahan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata demikian ketika mengulas mengenai Oktoberfest, dan beliau sekali gus menyeru seluruh umat Islam di negara ini wajib bangkit untuk menyatakan bantahan keras terhadap pesta arak berkenaan, demi untuk memastikan agar ia tidak diadakan di ibu kota atau di mana-mana lokasi lain.

- Advertisement -

“Sehubungan itu, kerajaan perlu bertindak tegas dan jangan benarkan pesta ini dibuat di tempat terbuka di Malaysia kerana ia salah di sisi syariat Islam,” tegasnya.

Menurut beliau, orang bukan Islam dibenarkan minum arak kerana agama mereka membenarkannya tetapi untuk menganjurkan pesta arak dan mengajak orang ramai berhimpun, khususnya di negara ini, ia merupakan satu perkara yang menyalahi syariat Islam.

“Kebebasan untuk minum arak dan kebebasan mengadakan pesta arak adalah dua perkara yang berbeza. Orang bukan Muslim dibenarkan minum arak kerana agama mereka membolehkan mereka minum arak. 

“Namun mereka tak dibenarkan mengadakan pesta minum arak dengan mengajak penganut Islam menyertai pesta minum arak,” katanya kepada HarakahDaily.

Tambah beliau, Rasulullah  SAW berpesan kepada umat baginda bahawa Khamar (arak) itu adalah ibu segala kejahatan. 

“Mentekedarah arak membawa kepada pelecehan dan rangkaian kejahatan yang lain seperti zina, sumbang mahram, pergaduhan, hilang perawan, pemerkosaan, hilang maruah diri dan penistaan pada karomah insaniah,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Dr. Riduan yang juga Pengerusi Lestari berkata, PAS menentang habis-habisan apa sahaja agenda pesta arak semenjak dekad 1950-an saat apa yang dikenali sebagai ‘the blue eyes mentality’ masih menyerkap kelompok kelas menengah Melayu di negara ini. 

“Ketika dalam kerajaan campuran dalam dekad 70-an, PAS berjaya menghalang majlis arak dalam program kerajaan, menyekat iklan-iklan arak dalam media arus perdana, menutup bar di bangunan Parlimen dan pelbagai usaha lagi.

“Lihat sahaja sejarah pemerintahan PAS di Kelantan, Terengganu , tiada sebarang bentuk kompromi terhadap pesta minum arak termasuk yang terkini di Long Beach, Pulau Perhentian, Terengganu,” ujar beliau.

Katanya, melihat kepada penganjuran festival berkenaan, sudah tentu tidak ada dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam mampu berdiam diri dengan membiarkan penganjur sewenang-wenangnya mengadakan pesta maksiat buat kesekian kalinya di Kuala Lumpur.

“Adalah sesuatu yang memalukan buat negara Islam seperti Malaysia, apabila program mungkar mudah mendapat tempat di hati masyarakat dan dibiarkan penganjurannya tanpa halangan. Kita tidak sanggup jika Kuala Lumpur atau mana-mana tempat di negara ini dikenali oleh dunia sebagai pusat maksiat terbesar di Asia,” katanya. 

Di samping itu tambah beliau, dalam isu penganjuran pesta arak itu, walaupun penganjur memberikan alasan bahawa ia adalah aktiviti untuk bukan Islam termasuk mempromosikan pelancongan terhadap masyarakat, namun, yang paling dikesali kerana mereka memilih Malaysia sebagai lokasi pesta arak. 

“Malaysia telah menjadi destinasi strategik untuk aktiviti bebas kepada masyarakat luar sepertilah negara ini tidak ada sekatan undang-undang dan peraturan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, walaupun umat Islam bukan menjadi sasaran penyertaannya, tetapi tiada had atau halangan jika ada orang Islam yang menyertainya, sekaligus ia akan menggamit sesiapa sahaja untuk hadir termasuk orang Islam.

“Menjelang pertengahan tahun 2022, selepas reda daripada pandemik Covid-19, maka pelbagai pesta maksiat kembali membuncah (rancak) di Malaysia. 

“Manusia seolah-olah melupakan wabak yang telah mengorbankan jutaan nyawa di seluruh dunia. Tanah leluhur ini bakal menyaksikan konsert artis luar negara termasuk Dewa, Billie Eilish dan Blackpink, selain yang dirancang Oktoberfest, dan puluhan acara maksiat yang lain.

“Pesta arak Oktoberfest yang berasal dari Jerman ini tidak ada kaitan dan tiada kena-mengena  dengan budaya kita orang Melayu dan umat Islam,” tegasnya.

Beliau sehubungan itu berkata bahawa arak adalah ibu maksiat yang sangat tercela dalam Islam. 

“Apakah jaminan keselamatan dapat diberikan kepada orang awam yang tidak terlibat seperti berlaku jenayah, seks bebas, rogol dan lain-lain dengan penganjuran pesta arak terbuka ini?

“Kebencian masyarakat terbanyak terhadap aktiviti maksiat juga perlu dipandang berat dan diraikan, bukan hanya meraikan keinginan segelintir manusia yang memuja nafsu,” katanya. 

Justeru, Dr Riduan menyeru agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi oleh elemen Melayu-Islam wajib mengambil iktibar daripada amaran demi amaran yang Allah telah zahirkan. Jangan menganggap berpesta arak adalah dosa peribadi. 

Personal sin is not a criminal kerana dampak dan masalah hilirannya menganggu masyarakat awam yang cintakan kedamaian dan keharmonian.

“Hati masyarakat Muslim di negara ini tidak reda terhadap kemungkaran berlaku, berasa benci dengan pesta arak yang dianjurkan dan bahkan boleh mengundang kegiatan ekstremis yang menggugat ketenteraman awam. 

“Batalkan Oktoberfest 2022, ketololan anda mengundang kemurkaan pencipta alam ini,” tegasnya. -HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -