Perlu lebih banyak pewartaan Hutan Simpan Kekal

Kerajaan digesa mewartakan lebih banyak Hutan Simpan Kekal di setiap negeri bagi menjaga kepentingannya untuk generasi akan datang.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewartakan lebih banyak Hutan Simpan Kekal di setiap negeri bagi menjaga kepentingannya untuk generasi akan datang.

Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, hal ini kerana terdapat sebahagian hutan di setiap negeri yang masih belum digazetkan sebagai hutan simpan.

- Advertisement -

“Memandangkan kuasa pewartaan tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing, saya ingin menimbulkan persoalan apakah inisiatif kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak pewartaan Hutan Simpan Kekal oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Nuridah turut meminta KeTSA menjelaskan sejauh mana keberkesanan platform rundingan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam memantau usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan simpan secara holistik di negara ini.

Nuridah Mohd Salleh

Katanya, ini susulan berlaku bencana alam yang agak kerap kebelakangan ini seperti banjir puing yang dahsyat di beberapa kampung di Baling, Kedah baru-baru ini.

“Hujan lebat mencecah 1,000 milimeter dan gelincir tanah menjadi punca berlakunya banjir puing di Kawasan Sungai Terengganu berhampiran Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud, Tasik Kenyir, baru-baru ini.

“Laporan dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu sekaligus menangkis dakwaan sesetengah pihak bahawa kejadian berlaku disebabkan aktiviti pembalakan.

“Oleh itu, saya ingin tahu sejauh mana usaha dan iniaiatif pemuliharaan di kawasan tersebut telah dilaksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -