Pembinaan kilang simen Chiku 7 giat dijalankan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Pembinaan Kilang Simen Bersepadu Chiku 7 yang tertangguh sebelum ini akhirnya dimulakan kerja-kerja tanah baru-baru ini.

Kilang tersebut terletak kira-kira lima kilometer daripada penempatan penduduk dan 11 km dari jalan Gua Musang-Kuala Krai.

Kilang berkenaan sedang dibina di kawasan seluas 500 hektar turut menawarkan 2,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Ketua Whip Ahli Majlis Daerah Gua Musang Azman Ahmad (MDGM) berkata, kilang terbabit mampu menjana hasil pengeluaran campuran tanah liat dan batu kapur sehingga dalam tempoh 100 tahun.

- Advertisement -

Katanya, bahan-bahan bagi menghasilkan serbuk simen terdapat di Bukit Chiku 7 terletak tidak jauh Ladang Serasa.

“Kerja berkaitan tapak pembinaan sudah bermula. Ia menjadi lambat sebelum ini kerana masalah teknikal.

“MDGM dilantik menjadi pemantau projek tersebut. Pemantauan dilakukan supaya projek itu tidak lewat dengan jadual yang ditetapkan,” katanya
ketika dihubungi di sini.

Cadangan pembinaan Kilang Simen Bersepadu Chiku 7 diumumkan kerajaan negeri pada 2015 dan mendapat kelulusan Penilai Impak Alam Sekitar (EIA) Jabatan Alam Sekitar.

Azman yang juga Pegawai Seranta Dun Paloh berkata, penduduk tempatan diberi maklumat kerajaan negeri mengenai projek tersebut.

“Tiada masalah sebab kilang simen terbabit terletak jauh dengan penempatan penduduk. Selain itu sistem pengurusan pencemaran secara mendap dalam tanah dan tidak dilepaskan ke udara.

“Maknanya orang kampung tidak perlu risau dengan masalah pencemaran kerana menggunakan teknologi terkini,” katanya.

Projek mega tersebut merupakan usahasama antara MDGM dengan ASN Cement Sdn Bhd membabitkan kos kira-kira RM1.3 bilion. – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -