KeTSA perlu semak imbang aspek ladang hutan

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) perlu mempunyai ‘semak dan imbang’ terhadap aspek ladang hutan sepertimana pendiriannya yang proaktif terhadap pengeluaran hutan simpan.

Senator Datuk Ahmad Yahaya berkata, saranan itu adalah supaya isu membabitkan tanaman ladang hutan yang bertentangan dengan spesies tanaman yang dibenarkan tidak berulang lagi.

- Advertisement -

“Saya berharap KeTSA dapat menjelaskan secara terperinci bagaimana spesis durian Musang King dibenarkan untuk ditanam meskipun pada asalnya ia telah melanggar syarat penanaman ladang hutan. 

“Bagaimana mungkin KeTSA boleh mengunjurkan penyelesaian terhadap perkara sebegini,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad, laporan mengenai tragedi kepala air di Perkampungan Iboi, Baling menyebut mengenai fenomena proses geologi berangkai.

Jelasnya, fenomena geologi berangkai itu adalah kejadian tanah runtuh serentak secara meluas akibat cetusan hujan lebat dengan kapasiti tinggi selain hakisan tanah akibat ladang hutan.

Katanya, dalam kes di Gunung Inas, sepatutnya kerja penanaman semula di kawasan tersebut diserahkan kepada Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan Negeri Kedah bagi menanam tanaman dari spesis getah klon balak (TLC).

“Ladang hutan di negeri Kedah sepatutnya adalah 15,000 hektar tetapi ketika disemak oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2020, kawasan yang diluluskan adalah 22,000 hektar, melebihi daripada kuota ladang hutang yang ditetapkan.

“Tambahan lagi, Kementerian juga telah memaklumkan mengenai penanaman durian Musang King yang kini telah berjumlah 5,000 batang pokok di 52 hektar dikatakan mendapat kebenaran sejak tahun 2017,” katanya.

Justeru, beliau berharap KeTSA dapat menjelaskan secara terperinci bagaimana durian Musang King dibenarkan untuk ditanam meskipun melanggar syarat penanam ladang hutan. – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -