Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Kerajaan sentiasa prihatin terhadap peningkatan kadar inflasi yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat ketika ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan ekonomi global semasa.
“Tekanan inflasi pada tahun 2022 merupakan fenomena global selaras dengan harga minyak mentah Brent yang kekal melebihi AS$100 (RM446) setong semenjak hujung Mac 2022.
“Gangguan rantaian bekalan dunia juga menjejaskan bekalan baja dan makanan ternakan sekaligus meningkatkan harga makanan dengan mendadak,” katanya di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Nuridah Mohd Salleh yang meminta pihak Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan tempoh jangkaan ekonomi negara berada dalam situasi inflasi serta sejauh mana kebenaran mengenai jangkaan ekonomi negara sedang menuju ke arah hyperinflation.
Menurut beliau lagi, kerajaan bertindak mengawal harga barang dan perkhidmatan terpilih khususnya melalui pemberian subsidi harga bahan api dan makanan terpilih serta rebat elektrik untuk pengguna domestik.
“Langkah tersebut bagi membantu memastikan kadar inflasi di Malaysia pada bulan Jun tahun ini pada tahap sederhana berbanding negara lain.
Langkah tersebut juga, ujar beliau, dapat mengelakkan hiperinflasi iaitu apabila kadar inflasi kekal pada tahap yang sangat tinggi dari satu bulan ke satu bulan sehingga boleh menghakis nilai mata wang sesebuah negara,” ujarnya.
“Selain itu, dasar fiskal dan dasar monetari semasa juga kekal akomodatif bagi memastikan inflasi negara berada pada tahap yang terkawal,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2022