Kapal pertama LCS siap pada 2023/2024

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein memberi jaminan kapal tempur pesisir atau Littoral Combatant Ship (LCS) pertama dijangka siap dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun atau dua tahun.

Menurutnya, laporan mengenai LCS akan dilaporkan kepada orang ramai dan Kabinet termasuk jadual berperingkat kapal-kapal yang dijanjikan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

- Advertisement -

“Saya boleh menyatakan bahawa sekurang-kurangnya dalam masa setahun dua ini, saya harap kapal pertama akan dapat kita siapkan.

“Saya akan maklumkan kepada kabinet apa yang telah kita lakukan untuk memastikan kali ini (tahap siap projek) mengikut apa yang telah dijadualkan,” katanya di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Senator Razali Idris yang ingin tahu mengenai jangka masa kapal tempur itu akan diterima kerajaan.

Hishamuddin Hussein

Sebelum itu kata Hishamuddin, kerajaan akan meneruskan LCS melihat kepada keperluan TLDM untuk memastikan ratusan vendor sedia ada tidak gulung tikar selain berkait rapat dengan perancangan dan polisi TLDM.

Katanya, individu yang didapati bersalah dalam skandal berkenaan, sama ada disebabkan penyelewengan atau salah guna kuasa akan diambil tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Projek ini (LCS) perlu diteruskan mengambil kira kebajikan mereka (pihak vendor). Siapa yang salah tetap salah.

“Jika ada penyelewangan atau salah guna kuasa, SPRM telah membuat kenyataan siasatan sedang berjalan dan tindakan kepada pihak berkenaan telah diambil, itu kita serahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan seterusnya,” ujarnya yang turut mengakui kecewa dengan situasi berkenaan.

“Namun, kerajaan perlu pandang ke hadapan dan mencari keadilan dengan memastikan LCS dapat dibekalkan kepada TLDM.

“Dalam masa sama, (kerajaan) mencari jalan supaya situasi sama tidak berulang pada masa akan datang,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Husain Awang. – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -