JAKIM kenal pasti lokasi operasi Hadi Minallah

Foto daripada Facebook Idris Ahmad.

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengenal pasti lokasi pusat operasi kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata maklumat berhubung lokasi itu telah diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk diambil tindakan selanjutnya.

“Semalam baru dapat profil berkenaan Hadi Minallah, saya terus hubungi JAWI kerana pada mulanya ada yang kata di Langkawi dan sebagainya.

Advertisement

“Tapi semalam kami dapat alamat itu, kami beri pada JAWI kerana bidang kuasa untuk bertindak ini ialah di pihak agama negeri,” katanya kepada media selepas merasmikan mesyuarat pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah-wilayah Persekutuan yang pertama, di sini hari ini.

JAKIM dilaporkan telah membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi tindakan menyekat penularan ajaran berkenaan.

Kumpulan ajaran Hadi Minallah yang berasal dari negara jiran dikesan berlaku di beberapa negeri di Malaysia dan aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui YouTube, Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Berdasarkan video tular itu, seorang lelaki mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminnullah Ahmad berasal dari Indonesia dan dia mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad serta pluralisme agama yang dakwanya Tuhan tidak melihat kepada agama selain turut menolak hadis.

Dalam pada itu, Idris meminta orang ramai untuk melaporkan terus kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki ada berlaku aktiviti yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Sementara itu, Idris dalam ucapannya berkata Majlis Peguam Syarie perlu memainkan peranan yang aktif dalam memperkasa kedudukan perundangan syariah melalui pelbagai kegiatan advokasi kepada masyarakat secara tersusun untuk memastikan umat Islam di Malaysia celik perundangan syariah. – BERNAMA