Isu LCS: Pengkhianatan, pencuri, ejen penceroboh perlu dihukum

Kegagalan perolehan Kapal Tempur Pesisir

- Advertisement -

MELIHAT kepada laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kepada Parlimen pada 4 Ogos 2022 berkaitan projek perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua – Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) bagi pengoperasian Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), saya selaku ahli jawatankuasa PAC menegaskan supaya kes ini perlu dibawa ke muka pengadilan dengan segera kerana kumpulan atau individu yang mengkhianati amanat rakyat Malaysia ini telah menjadi musuh negara dan sedang menceroboh kedaulatan Malaysia dengan kelicikan untuk mengagalkan sistem peralatan pertahanan negara.

Kita sedia maklum negara kita menghadapi ancaman dari pihak luar, lanun dan penceroboh di Laut China Selatan saban waktu. Tugas TLDM sangat mencabar, sangat besar dan penting demi memastikan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat di negara ini terjamin, bahkan memastikan industri perdagangan import dan eksport di kawasan maritim dan perkembangan ekonomi negara terkawal. 

Begitu juga keselamatan rakyat Malaysia yang bertungkus-lumus mencari rezeki sebagai nelayan laut dalam, dan aktiviti cari gali petroleum di kawasan perairan negara. Kelewatan perolehan Kapal tempur ini memberi kesan buruk terhadap aktiviti ekonomi bagi tempoh masa yang panjang termasuk menjejaskan pengurusan aset pertahanan strategik negara, dan seterusnya meletakkan keselamatan rakyat di ambang bahaya. 

Kegagalan proses detailed design dengan BNS sehingga sekarang, pertukaran rekabentuk yang sangat tergesa-gesa, pelik dan tidak mengendahkan permintaan TLDM sendiri serta proses pembayaran oleh pihak yang diberi tanggungjawab ketika itu kepada syarikat BNS harus disiasat dengan lebih mendalam dan terperinci. Terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan. 

Pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar. Ini adalah luar biasa, pelik dan ini menyebabkan bayaran kemajuan LCS1 melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1 peratus (bayaran sebanyak 63.8 peratus berbanding kemajuan kerja sebenar sebanyak 42.7 peratus); Proses ini telah menceroboh tatacara kewangan yang betul dan telus. 

Lebih malang lagi walaupun pembayaran telah dibuat melebihi jumlah sepatutnya namun proses pembinaan kapal LCS masih gagal disiapkan seperti yang dijadualkan dalam kontrak. Sedih dan geram; Kita kehilangan wang negara dan kapal tempur pertahanan negara entah di mana? Kecuaian, kebocoran besar ini perlu disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama ada wujud penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pecah amanah bagi setiap pembayaran sebanyak RM6.083 bilion. 

Pengkhianatan ini adalah suatu jenayah yang sangat berbahaya kepada negara kerana jelas bahawa peralatan pertahanan merupakan aset strategik berkepentingan bagi menjamin urusan pentadbiran negara berjalan lancar, tanpa sebarang ancaman dari dalam dan luar. 

Saya mendesak agar kumpulan atau individu pengkhianat negara yang terlibat ini dibawa ke muka pengadilan dan diberi hukuman yang sewajarnya, tanpa mengira pangkat dan darjat supaya perkara ini tidak berulang lagi serta setiap proses perolehan aset strategik kerajaan di kemudian hari demi kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara Malaysia.

YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN 
Ahli Parlimen Sik
Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)
8 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -