Bomba Kedah pantau lima kawasan berisiko kepala air

- Advertisement -

YAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah sedang memantau rapi lima lokasi tumpuan orang ramai yang dilihat paling berisiko berlaku fenomena kepala air ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Pengarahnya Sayani Saidon berkata ia terdiri daripada kawasan Bukit Wang di Jitra, pusat perkelahan Surau Batu (Bukit Kayu Hitam), Kuala Sungai Sedim (Kulim), Peranginan Titi Hayun (Yan) dan Hutan Lipur Lubuk Semilang (Langkawi).

“Kita mengingatkan masyarakat setempat mengambil langkah berjaga-jaga dan peka dengan keadaan sekeliling sekiranya pergi berkelah dalam musim yang tidak menentu ini, apabila hujan lebat dan nampak perubahan warna air serta daun-daun kering hanyut, cepat-cepatlah tinggalkan kawasan itu,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Pasukan Bomba Komuniti JBPM Kedah di sini hari ini.

Katanya pemantauan secara berkala dan lebih kerap akan dilakukan di kawasan itu bagi mengelak sebarang kecelakaan hingga mengorbankan nyawa seperti yang berlaku di Yan dan Baling sebelum ini.

“Kita juga bekerjasama dengan pasukan Bomba Komuniti, dan hari ini kita melancarkan 10 pasukan Bomba Komuniti Zon 2, mereka ini akan menjadi mata dan telinga pihak bomba dalam aktiviti atau kempen keselamatan dan pencegahan.

“Saya berharap pasukan ini mendapat ilmu yang diberikan, sekali gus dapat membantu pihak bomba menyebarkan maklumat kesedaran kepada masyarakat secara meluas dan seterusnya dapat mencegah kebakaran lebih awal dengan maklumat pantas yang disalurkan kepada bomba,” katanya.

Menurut Sayani sehingga semalam 61 pasukan bomba komuniti telah ditubuhkan di negeri ini dengan keahlian 893 orang ahli. – BERNAMA

- Advertisement -