Arak bukan sesuatu yang perlu dipestakan

Rosni Adam
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Penganjuran Pesta Arak Oktoberfest tiada langsung mendatangkan kebaikan tetapi sebaliknya ia bakal dan mampu menimbulkan banyak masalah sosial di negara ini.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKPP), Dr Rosni Adam berkata, PAS menentang pesta arak berkenaan kerana ia dibuat secara besar-besaran dan terbuka, yang pastinya akan memudaratkan masyarakat umum di negara ini.  

- Advertisement -

Menurut beliau, individu yang mabuk tidak waras akibat dipengaruhi arak boleh menggugat keselamatan orang ramai.

“Contohnya, pemandu yang memandu secara mabuk akan melanggar undang-undang dan begitu banyak kes-kes akibat pemandu yang memandu secara mabuk,” ujarnya. 

Selain itu katanya, masalah-masalah sosial lain juga akan timbul akibat arak seperti masalah keluarga, masalah rumahtangga, pukul anak, masalah ekonomi dan menimbulkan pelbagai masalah sosial yang berantai apatah lagi berkaitan masalah kesihatan yang pastinya akan memburukkan kesihatan golongan peminum tegar arak tetapi juga memberikan kesan buruk kepada kesihatan mental orang di sekeliling.

“Namun begitu, ini bukan bermakna kita ingin menutup  langsung hak orang bukan Islam yang ingin meminum arak. Contohnya, kita lihat negara-negara maju, rakyatnya meminum arak di tempat yang tertutup dan tidak dijadikan pesta.

“Sekiranya kita tanya kepada rakan-rakan bukan Muslim, secara jujurnya mereka akan bersetuju bahawa arak lebih banyak mendatangkan kemudaratan daripada kebaikan yang seketika sahaja. Arak merupakan salah satu bentuk ketagihan,” katanya kepada HarakahDaily, di sini, hari ini. 

Sebagai kesimpulan ujar beliau, arak bukan merupakan sesuatu yang perlu dipestakan tetapi perlu dibuat kempen pencegahan. 

“Memang arak sepatutnya diharamkan terus tetapi ini buat untuk keseluruhan rakyat Malaysia  supaya rakyat Muslim dan bukan Muslim boleh bebas daripada pengaruh arak ini.

“Maka, arak juga boleh dibuat kempen untuk menghentikannya sebagaimana  kempen yang dilaksanakan  Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia seperti  Generational Endgame Antirokok-18  untuk perokok,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -