Anak Perlis rintis penubuhan Universiti Islam di Brunei

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Mungkin tidak ramai tahu Maktab Perguruan Agama Brunei dinaik taraf sebagai universiti di negara itu antara hasil usaha seorang rakyat Perlis.

Tuan Guru Ahmad Ali, 84, dipertanggungjawab membangun sebuah universiti Islam pada 1989 ketika berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Pengajian Tinggi Islam (IPT) Brunei.

Menurutnya beliau ditawar berkhidmat di negara terbabit oleh Kementerian Agama Brunei untuk membangunkan universiti terbabit.

“Berdasar pengalaman berkhidmat di Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) sebelum itu, saya dan kawan-kawan termasuk Allahyarham Dr Aziz Hanafi dan Dr Osman Ishaq mengaplikasi sistem dari akademik Islam di UM dan UIA.

Advertisement

“Sistem pendidikan tersebut akhirnya mendapat pengiktirafan Universiti Al Azhar, Mesir sehingga diserap masuk ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei.

“Saya menetap di Brunei selama 10 tahun. Sebelum berhijrah ke Brunei saya berjumpa dengan Tuan Guru Hashim Jasin bagi mendapat nasihat daripadanya,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Selepas sebulan saya bekerja di Brunei beliau pulang semula ke tanah air untuk berkahwin pada usia 50 tahun pada 1989. Dan sepanjang berkhidmat di Brunei beliau dikurniakan tiga cahaya mata.

Bagaimanapun selepas 10 tahun di Brunei beliau kemudian disambung lagi kontrak, namun Ustaz Hashim memanggilnya pulang ke tanah air untuk berkhidmat di kampung halaman sendiri.

“Ketika itu saya tak tahu nak kerja apa, tetapi sampai di lapangan terbang pimpinan PAS Perlis yang datang menyambut memberitahu saya diminta bertanding di Dun Guar Sanji,” katanya.

Tuan Guru Ahmad dilahir pada 23 Julai 1938 di Jelempok, Perlis. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jelempok sehingga darjah empat, kemudian menyambung pelajaran di Madrasah Alawiyah (MAAD), Arau sehingga 1958.

Bagaimanapun selepas tamat sekolah rendah, ayahnya tidak benarkan beliau memasuki Sekolah Khas Melayu (Special Malay) kerana bimbang tidak mendapat pendidikan agama.

Ekoran itu beliau belajar di Madrasah Alawiyah Diniah. Dan selepas tamat pengajian beliau mula menabur ilmu sebagai guru di Madrasah Alawiyah selama enam tahun.

Dapat biasiswa Kerajaan Kelantan

Kemudian pula menyambung pelajaran di Pusat Pengajian Tinggi Islam Kelantan di Nilam Puri dari 1965 sehingga 1969.

“Pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri tidak diiktiraf kerajaan Pusat, namun diiktiraf Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Akhir tahun, saya mendapat biasiswa daripada kerajaan Kelantan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar pada 1970 dalam bidang Usul Fiqah.

“Selepas tamat Ijazah Sarjana (Master) di sana, saya tidak pulang ke tanah air, saya sambung lagi belajar, namun tidak mendapat biasiswa dari mana-mana negeri,” ujarnya.

Oleh itu bagi menampung kehidupan di sana, beliau bekerja dengan kedutaan sebagai staf tempatan. Ketika itu beliau menyambung pelajaran dalam bidang pendidikan di Universiti Ain Syam, Mesir.

Beliau juga aktif bersama Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat PMRAM.

Beliau juga pernah memberi bimbingan kepada semua pelajar Malaysia termasuk Indonesia, Filipina dan Singapura.

“Di Mesir saya dikenali sebagai guru pakar dalam Usul Fiqh. Pada tahun 1987 saya pulang ke tanah air,” katanya.

Sehingga sekarang Tuan Guru Ahmad merupakan salah seorang ulama di Malaysia yang mahir bidang Usul Fiqah.

Antara gurunya dalam bidang Usul Fiqh ketika menuntut ilmu di Mesir Syeikh Muhammad Abunnur Zuhair yang merupakan guru kepada Maulana Syeikh Dr Ali Jum’ah.

Beliau bukan sahaja seorang yang alim dalam bidang Usul Fiqh, malah ulama yang terlibat dalam gerakan Islam.

Keluarga

Hasil perkahwinan beliau dikurniakan enam anak iaitu, Syaimaa, 32; Salman, 31; Salwani, 27; Syuhaida, 22; Syifaa, 19 dan Suhail, 11.

Syaimaa bekerja sebagai doktor perubatan, Salman (jurutebang marin), Salwani (pegawai dietitik), manakala Syuhaida dan Syifaa belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

Sementara putera bongsu, Suhail belajar di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan (SRIAF), Jejawi.

Selepas pulang ke Malaysia beliau ditawar sebagai pensyarah di UM, kemudian pada 1988 berkhidmat pula UIAM sebagai pensyarah di Fakulti Ekonomi.

“Ustaz Hashim sebut keputusan majoriti minta saya bertanding di Guar Sanji. Tidak boleh tolak lagi.

“Alhamdulillah, walaupun pertama kali masuk pilihan raya mewakili PAS dan menang kerusi di Dun Guar Sanji. Saya berkhidmat sebagai Adun pada 1999 hingga 2004,” katanya.

Beliau sekarang juga merupakan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS.

Ingatan anak muda

Pada pertemuan tersebut Tuan Guru Ahmad berharap anak-anak muda terus istiqamah dengan PAS adalah kerana dasar Islam yang dibawanya.

Menurutnya tidak ada sebab hendak lari dari medan perjuangan kerana dasarnya tetap sama sejak dahulu kecuali suasana sahaja yang berubah.

“Saya berpegang kepada dasar, bukan pada suasana,” katanya.

Beliau juga berharap generasi sekarang mengenepikan perkara cabang yang menjadi pertikaian segelintir anak-anak muda sekarang.

Kata beliau isu tersebut tidak perlu bincang memandangkan ulama dahulu sudah selesai berbincang mengenainya.

“Tak kan kita lebih pandai lagi dari Imam Hanafi, Imam Syafie dan pelbagai lagi ulama dahulu.

“Perbezaan pendapat ini rahmat, contohnya Mazhab Syafie zakat dikenakan kepada benda itu sendiri contohnya jika kita mengerjakan sawah, maka perlu keluar padi sebagai zakat.

“Tetapi Mazhab Hanafi, hendak keluar zakat dalam bentuk padi atau wang pun dibenarkan, jadi jika tiada perbezaan tentunya perlu beri padi sahaja,” ujarnya.

Beliau juga mencadang generasi muda supaya memperbanyak program berbentuk ilmiah supaya dapat melahirkan orang yang mampu berhujah berdasarkan ilmu. – HARAKAHDAILY 8/8/2022