11 tahun selepas perang di Syria

- Advertisement -

PADA banyak ketika, aku mendapat peluang bertemu dengan beberapa orang sama ada tokoh mahupun seseorang yang terlibat dengan sesuatu peristiwa. Ada yang secara diaturkan dan ada juga secara kebetulan. Alhamdulillah, syukur sangat kepada Allah atas peluang-peluang yang dihidangkan. Apatah lagi isu berkaitan adalah isu penting dan boleh memberi kesan sama ada kepada agama mahupun masyarakat. Maka bolehlah dijadikan bahan tulisan bermanfaat.

Kali ini, aku berpeluang berjumpa dengan seorang rakyat Syria yang berasal dari Halab atau lebih dikenali dengan Aleppo. Dia baru sahaja menyertai syarikat yang aku bekerja sekarang. Sebelum ini, dia berkhidmat di sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa di Abu Dhabi. Namanya Khalid. Sekarang dia dan keluarga memegang pasport Brazil.

Ya, dia dan keluarganya memilih untuk menukar kerakyatan mereka dan menetap di Sao Paulo. Aku tertanya-tanya dengan keadaan kehidupan mereka di sana. Rupanya sudah ada tiga buah masjid di sekitar komuniti yang mereka tinggal. Kata beliau, dianggarkan 100,000 orang Islam, menetap di sana sekarang ini, atas berbagai sebab, selain daripada lari dari perang.

Melanjutkan perbualan, aku bertanya mengenai apa yang sebenarnya telah terjadi 11 tahun lampau, permulaan yang menyebabkan keadaan negaranya menjadi huru-hara. Khalid menceritakan awal kejadian ialah kerana terpengaruh dengan keadaan semasa di negara-negara Arab lain yang bangun memberontak atau apa yang mereka gelarkan ‘Arab Spring’ itu.

Sewaktu itu kata Khalid, keadaan kehidupan di sana tidak memuaskan hati sebahagian rakyat. Jadi mengambil semangat tumbangnya beberapa kerajaan dalam Arab Spring itu, rakyat Syria turut menyatakan bantahan masing-masing. Ia bermula di sebuah negeri bernama Dara’a. Di dalamnya ada sebuah tempat bernama Nawa iaitu tempat lahirnya Imam An-Nawawi.

Sejurus mendapat maklumat berkenaan penentangan itu, Presiden, Basyar al-Asad segera menghantar pasukan tenteranya bagi menghalang tindakan lebih besar berlaku berdasarkan kebimbangannya akan berlakunya Arab Spring di negaranya. Akan tetapi tindak balas beliau, terlalu kejam dan menyebabkan kezaliman yang tidak sepatutnya berlaku.

Rejim Basyar mengamalkan pemerintahan sebagaimana ayahnya, Hafiz al-Asad iaitu ramai kroni-kroni dan keluarga mereka diberikan jawatan dalam kerajaan. Walaupun pencapaian mereka tidak memuaskan hati rakyat, mereka tetap dikekalkan. Ia juga mungkin strategi politik keluarga al-Asad ini bagi mengekalkan kuasa mereka.

Setelah ramai penduduk di Dara’a ditangkap, terdapat juga beberapa usaha oleh pimpinan setempat yang cuba berunding untuk pembebasan mereka yang ditahan itu. Namun, pintu rundingan untuk itu, ditutup rapat oleh Presiden. Lalu dicuba pula oleh mereka supaya ditukar pemimpin kroni Basyar di negeri mereka, juga ditolak oleh Basyar.

Oleh kerana tiada jalan lain, maka perang adalah pilihan yang terakhir bagi mereka mempertahankan apa yang mereka rasakan sebagai hak mereka. Dan terjadilah sebagaimana yang kita maklumi. Tetapi ia tidak berbaloi dengan kematian demi kematian di pihak rakyat yang begitu drastik berlaku.

Mengenai almarhum Syeikh Ramadhan al-Buti, Khalid turut bersedih dengan pemergiannya. Baginya, Syeikh telah cuba meleraikan perang yang tidak sepatutnya berlaku itu dengan ilmu yang beliau miliki. Dan ia menyaksikan harga bagi seruan Syeikh itu adalah nyawanya sendiri. Begitulah ulamak sanggup mati, berperanan dalam mententeramkan hati yang kepanasan, dendam yang tak sudah.

Khalid begitu yakin bahawa perang yang tercetus itu bukanlah kerana isu Sunni dan Syiah sebagaimana yang dikatakan. Ia lebih kepada kerakusan mahu mengekalkan kuasa pemerintahan. Buktinya Sunni-Syiah telah hidup secara aman damai ratusan tahun sebelum itu. Pada awal 80-an, pernah berlaku pembunuhan beramai-ramai terhadap anggota Ikhwanul Muslimin kerana adanya cubaan menentang Hafiz al-Asad, juga terjadi bukan kerana mazhab.

Hatta, seusai pembersihan itu, janggut tidak dibenarkan kepada lelaki di sana. Kata Khalid lagi, Syiah Alawi yang dianuti Basyar, tidak diakui sebagai Syiah yang sebenarnya dalam mazhab Syiah. Dan lagi, mereka adalah kumpulan minoriti di Syam. Bagi Khalid, ia hampir sama kes dengan Yaman yang mana Syiah Houti bukan berperang kerana sentimen anti Sunni, tetapi lebih kepada merampas atau mempertahankan kuasa. Dan keadaan memburuk, kerana campurtangan negara luar. (Setakat yang aku lihat, Khalid bersolat sebagaimana Sunni di masjid kami).

Setelah semuanya berlarutan, keadaan sudah bercampur dengan berbagai alasan bagi peperangan, membingungkan semua. Fitnah bertaburan, entah siapa yang salah, ku tak tahu. ISIS dan Daesh juga tiba-tiba timbul di pertengahan perang, mengelirukan lagi semua orang. Dari mana mereka datang? Bagaimana mereka mendapat senjata? Atau Basyar sengaja mengadakan semua ini bagi mengaburi mata Barat bahawa mereka sedang berperang dengan teroris?

Syria sudah terbelah kepada tiga kawasan utama iaitu Timur dikuasai oleh pihak Kurdish. Selatan dan sekitar Damsyik di bawah pengaruh kerajaan dan di Utara sebahagiannya dipegang oleh kumpulan pemisah yang lain. Begitulah tanah yang diberkati Allah ini diperlakukan oleh tangan-tangan yang memusnahkan, sesuai dengan firman Allah dalam surah ar-Rum iaitu berkenaan telah berlaku kerosakan di darat dan di laut hasil dari tangan-tangan manusia.

Khalid tidak akan kembali memohon kerakyatan Syam, paling kurang mungkin dalam 10 tahun lagi kerana kemusnahan yang berlaku terlalu besar dan tidak mudah bagi membangunkan semula. Khalid adalah antara yang terselamat dan mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh. Beliau salah seorang daripada lebih 6 juta rakyat Syam yang melarikan diri dari perang.

Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang masih di sana, tidak boleh keluar dari Syria kerana miskin dan lain-lain sebab? Apa yang mampu dilakukan? Kisah yang diceritakan Khalid ini mungkin tidak menyeluruh kebenarannya, kerana dia bukan pihak berautori, tetapi paling kurang Khalid adalah anak jati Syam dan tinggal di sana puluhan tahun semenjak lahir. Dan sebagai penulis, bagi aku, kisah Khalid ini, ada nilai yang tersendiri.

MOHD NASIR ABDULLAH
8 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 8/8/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -