Siasat status kumpulan percaya Imam Mahdi muncul di Mekah

Foto daripada Facebook Idris Ahmad.
- Advertisement -

BAGAN SERAI: Pihak berkuasa telah diarahkan supaya menyiasat status dan keberadaan kumpulan dianggotai rakyat tempatan yang berkumpul di Tanah Suci Mekah, kerana mendakwa kemunculan Imam Mahdi pada Hari Arafah sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata pihak Konsulat Tabung Haji (TH) Malaysia di Jeddah, telah diarahkan memulakan siasatan terhadap kumpulan itu termasuk pemimpinnya Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, yang dipercayai masih berada di sana.

- Advertisement -

“Kita harap selepas ditangkap, mereka akan dikenakan tindakan dan seterusnya dihantar pulang kerana ini semua mengarut,” katanya selepas menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) negeri, di Bukit Merah Laketown Resort hari ini.

Menurutnya orang awam dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dan melakukan semakan dahulu, sebelum menyertai apa-apa Tarekat (pengamalan).

“Kalau mahu menyertai Tarekat, saya harap orang awam selidik dahulu guru tersebut. Jika ingin mengaji, syaratnya perlu mencari guru yang Mursyid, iaitu mempunyai ilmu dan beramal dengan ilmu yang dipelajarinya,” tambahnya.

Dilapor, beberapa kepercayaan yang terpesong termasuk mendakwa kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah lepas, antara pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah di Labu, Negeri Sembilan yang telah ditutup selama enam bulan.

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad dilapor berkata berdasarkan maklumat, pemimpin pusat itu iaitu Habib Shah Firdaus Habib Ahmad bersama kira-kira 300 pengikutnya, telah ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah selain menantikan kemunculan Imam Mahdi pada Hari Arafah dan kini Awal Muharram. – BERNAMA

- Advertisement -