Rujuk segera kes perolehan kapal LCS ke muka pengadilan

- Advertisement -

SAYA menggesa pihak berkuasa supaya segera merujuk kes penyelewengan perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua Littoral Combatant Ship (LCS) ke mahkamah. Ini berikutan laporan komprehensif daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang menunjukkan keraguan terhadap kontrak perolehan keenam-enam kapal LCS tersebut. 

Isu ini pernah dibangkitkan di Parlimen dalam sidang yang lalu, namun kerajaan masih tidak mengambil pendirian tegas di sebalik kegagalan pihak Bousted Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menyiapkan projek mengikut jadual. 

Malah, turut menjadi persoalan utama adalah mengenai perbelanjaan RM6 bilion daripada RM9 bilion keseluruhan kontrak sedangkan tiada sebuah kapal berjaya diserahkan kepada Kementerian sehingga tahun ini. Jadual asal kontrak menunjukkan sekurang-kurangnya tiga buah kapal LCS perlu disiapkan sehingga pertengahan tahun ini. 

Laporan Ketua Audit Negara 2019 pernah mendedahkan tiada kelewatan denda (liquidated damages) dikenakan ke atas kelewatan kontrak tersebut. Ironinya, Kerajaan telah melakukan ‘advanced payment‘ melebihi kemajuan kerja yang sebenar. 

Projek Transformasi TLDM #15to5 daripada 15 Kelas Kapal kepada 5 Kelas Kapal sememangnya cantik di atas kertas kerana ia langkah memperkukuhkan kekuatan armada angkatan laut negara. 

Isu kedaulatan maritim merupakan isu teras kepada dasar pertahanan negara. Malaysia sendiri merupakan sebuah negara maritim dengan 60 peratus bersempadan dengan perairan. 

Namun, pendedahan PAC terhadap perolehan kapal LCS boleh mendorong defisit keyakinan terhadap kerajaan jika tiada langkah tegas diambil. Oleh itu, langkah pendakwaan di hadapan mahkamah merupakan jalan terbaik bagi memastikan pesalah diadili sepenuhnya. 

Sekian, terima kasih.

YB SENATOR DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 6/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -