Penduduk tidak perlu bimbang taman agrotaurism

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah sebelum ini telah mengarahkan kerja-kerja site clearing membabitkan kawasan berhampiran rekreasi Titi Hayun, Yan, diberhentikan berkuatkuasa 24 Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Syed Yussof Syed Othman berkata, tindakan itu dibuat apabila pihaknya menerima makluman berkenaan aduan yang diterima oleh Majlis Daerah Yan.

- Advertisement -

“Melalui surat tawaran, pihak penyewa perlu mendapatkan surat bertulis daripada Majlis Daerah Tempatan dan semua agensi yang berkuasa termasuk Jabatan Vetarinar (JPV) dan sebagainya,” jelas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, insiden itu dipaparkan muka hadapan sebuah media tempatan bertajuk “Bimbang Hutan Di Lata Titi Hayun Ditarah” melahirkan kebimbangan implikasi yang bakal diterima oleh penduduk berhampiran akibat kerja-kerja berkenaan di lokasi terbabit.

Dalam masa yang sama ujar Syed Yussof, pihak kontraktor diarahkan membersihkan kawasan yang terlibat selain turut bertanggungjawab kepada sebarang kerosakan akibat kerja-kerja site clearing yang telah dilakukan.

Menurutnya lagi kawasan berkenaan adalah milik perbadanan dan akan dibangunkan taman agrotaurism yang dikenali sebagai Taman Integrasi Moden Agro Bioteknologi yang terdiri daripada ladang buah-buahan, ternakan lebah kelulut dan aktiviti lain berasas agrotaurism.

“Sebagai perbadanan milik penuh kerajaan negeri, kami komited kepada undang-undang dan piawaian alam sekitar terutama melibatkan isu keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat,” tambahnya lagi.

Justeru itu, beliau menasihatkan agar penduduk berhampiran tidak bimbang kerana pihaknya, sentiasa memastikan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan dipatuhi oleh kontraktor yang menjalankan kerja-kerja terbabit. – HARAKAHDAILY 7/8/2022

- Advertisement -