LCS cemar kredibiliti pertahanan negara, kerajaan perlu tegas

KUALA LUMPUR: PAS menggesa agar siasatan menyeluruh dan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terlibat dalam skandal perolehan kapal peronda generasi kedua – Littoral Combatant Ship (LCS) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketua Penerangannya, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, PAS yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan menyeluruh serta mempunyai bukti yang cukup untuk pertuduhan individu ataupun syarikat yang terlibat dalam tindakan tidak bertanggungjawab serta merugikan wang negara.

Menurutnya, pendedahan menerusi laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menunjukkan bahawa pembayaran oleh kerajaan sebanyak RM6.083 bilion telah hilang tanpa sebarang hasil.

Advertisement

Sehingga hari ini, katanya tiada satu pun daripada enam kapal tersebut diserahkan kepada TLDM.

Tambahnya, lebih malang, pandangan TLDM selaku ‘end user’ tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dalam pelaksanaan projek ketika itu.

Katanya lagi, 10 surat teguran, surat tidak puas hati dan surat memaklumkan pendirian TLDM oleh mantan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar telah dipandang sepi.

“Isu ini sememangnya telah mencemarkan kredibiliti pertahanan negara memandangkan perolehan LCS merupakan keperluan kritikal bagi TLDM,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Kata beliau, keupayaan tempur TLDM mestilah selari dengan kemajuan landskap keselamatan geostrategik dan geopolitik serantau.

Beliau berkata, PAS mahu kelancaran terhadap pelaksanaan projek LCS diambil serius oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Justeru, ujar beliau PAS menyeru kepada semua pihak untuk bersama memberi sokongan terhadap langkah yang diambil pihak berkuasa terutamanya SPRM.

“Kerajaan perlu tegas dan pastikan mereka yang telah merobek maruah pertahanan negara segera dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/8/2022