Kembalikan maruah pertahanan negara

Isu kapal LCS: Hadapkan yang terlibat ke muka pengadilan

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia melahirkan rasa dukacita rentetan pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung perolehan kapal peronda generasi kedua – Littoral Combatant Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kelmarin. Dalam laporan tersebut, jelas berlaku beberapa salah laku dalam tatacara perolehan sehingga membawa kepada kegagalan LCS untuk disiapkan dan diperoleh mengikut masa yang ditetapkan. 

Isu ini secara jelas telah mencalarkan maruah dan kredibiliti pertahanan negara. Amat sedih mengenangkan sebanyak RM6.083 bilion wang rakyat telah dibelanjakan oleh negara, namun sehingga hari ini, tidak ada satu pun dari 6 kapal tersebut yang siap. Lebih memalukan, pelancaran kapal tempur pesisir ini telah dibuat oleh Kementerian Pertahanan dan TLDM pada 2017, dan dirasmikan sendiri oleh DYMM Sultan Perak. Rupa-rupanya, pelancaran itu hanya gimik sahaja. Pembinaannya tidak sampai 50 peratus pun pada ketika itu! 

Selain itu, wujud beberapa kejanggalan yang berlaku sepanjang proses perolehan dibuat seperti yang dinyatakan dalam laporan PAC. Antaranya, Menteri Pertahanan pada ketika itu, Dato’ Seri Zahid Hamidi telah bertindak membelakangkan pendapat TLDM, agensi di bawah kementeriannya yang merupakan end user, dan menerima pendapat kontraktor utama iaitu Boustead Naval Shipyard (BNS) dalam soal pemilihan reka bentuk dan sistem kapal tersebut. Perkara ini juga menimbulkan ketidakpuashatian Panglima TLDM ketika itu yang disifatkan sebagai ‘something is gravely wrong’.

Sudah masuk 24 jam selepas pendedahan isu ini, namun amat mengecewakan, masih tidak ada sebarang kenyataan dari Kerajaan, Jabatan Peguam Negara mahupun SPRM untuk membawa isu ini ke muka pengadilan. Oleh itu, Pemuda PAS mendesak SPRM supaya membuka kertas siasatan bagi pendedahan PAC ini. Sekiranya terbukti wujudnya salahlaku dalam proses perolehan kapal tempur pesisir, tindakan tegas harus diambil dan hadapkan pelaku ke muka pengadilan.

Hakikatnya, isu ini bukanlah isu picisan yang boleh dipandang enteng. Isu ini melibatkan maruah pertahanan negara yang robek dicalar oleh mereka yang mempunyai kepentingan diri. Perbetulkan semula kebejatan ini, kembalikan semula maruah pertahanan negara. Jangan biar masa depan negara tergadai akibat salah laku yang merugikan berbilion wang rakyat, serta memperjudikan keselamatan pertahanan tanah air tercinta.

USTAZ AFNAN HAMIMI DATO’ TAIB AZAMUDDEN
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 7/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -