90 peratus manifesto PRU14 dilaksana PAS Kelantan

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

PASIR PUTEH:
Hampir keseluruhan manifesto pilihan raya PAS Kelantan sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) empat tahun lalu berjaya dilaksanakan.

Setiausaha Perhubungan PAS negeri Wan Roslan Wan Hamat bagaimana pun berkata, hanya satu lagi belum dapat dilaksanakan, iaitu Bazar Emas di bawah segmen pembangunan belia bermaruah.

Advertisement

Bagaimanapun kata beliau pada kempen pilihan raya tersebut, PAS Kelantan mengemukakan 14 tawaran kepada rakyat untuk dilaksanakan sekiranya parti itu terus mendapat mandat mentadbir kerajaan negeri.

“Manifesto yang dikemukakan pada PRU14 tahun 2018 berjaya dilaksanakan sehingga mencapai tahap 90 peratus kecuali Bazar Emas sahaja, yang lain sudah dilaksanakan dengan sempurna.

“Kita pun dalam portfolio Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang saya pengerusikan secara keseluruhannya sudah dilaksanakan lebih 90 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan Kali Ke-63 di Tok Aman Bali Beach Resort di sini semalam.

Perasmian muktamar itu disempurnakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Adun Batu Buruk Terengganu Muhammad Khalil Abdul Hadi. – HARAKAHDAILY 7/8/2022